Leona dapat lampu hijau jadi pelakon

SELEPAS menyerlah sebagai pempengaruh, Kasih Iris Leona kini diintai syarikat produksi, Zeel Production yang berminat melamarnya membintangi sebuah drama bersiri.

Berita baik tersebut dikongsikan bapanya, Azhar Sulaiman yang mendedahkan menemani anak bongsunya bertemu dengan pengarah dan penerbit Fadzil Teh atau Haji Zeel.

Mengadakan mesyuarat bersama Haji Zeel untuk sebuah projek drama berdiri di TV3,” tulisnya ringkas pada video yang dikongsi dalam Instagramnya.

Turut kelihatan adalah Leona, 22, yang tekun mendengar perbincangan antara ayahnya dengan orang kuat Zeel Production itu.

Sebelum ini Azhar pernah memberi bayangan mengenai keinginan gadis tersebut untuk mencabar diri dengan meneroka dunia lakonan.

Begitupun, kurang fasih berbahasa Melayu selain kedengaran ‘pekat’ dengan lenggok Bahasa Inggeris membuatkan aktor berusia 52 tahun itu meminta Leona menangguhkan dahulu hasrat berkenaan.

Namun Azhar memberikan syarat jika ada yang sanggup melatih anaknya berbahasa melayu, dia dan isteri, Chempaka Emalin akan membenarkan Leona lampu menjadi pelakon.

Menjengah ruangan komen, rata-rata pengikut teruja dimaklumkan mengenai perkembangan terbaharu itu selain yakin gadis terbabit berpotensi pergi jauh.

Tidak kurang dalam kalangan peminat meminta Azhar dan anaknya itu bergandingan dalam naskhah sama.

Difahamkan Leona kini masih menghabiskan cuti pengajiannya di London selepas kali terakhir pulang ke tanah air pada September tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok