SELEPAS empat tahun menjanda, pelakon Indonesia Laudya Cynthia Bella didakwa mendirikan rumah tangga dengan pendakwah terkenal, Ustaz Muhammad Nuzul Dzikri, semalam.
Khabar tersebut dimuat naik seorang individu sebelum dikongsi pula laman sosial popular, Lambe Turah yang turut menyebutnya menjadi isteri ketiga lelaki berusia 41 tahun itu.
Menerusi hantaran tersebut, difahamkan majlis pernikahan bekas isteri kepada Engku Emran Engku Zainal Abidin dengan pendakwah tersebut hanya dihadiri keluarga terdekat termasuk beberapa ustaz.
“Selamat atas pernikahan ustaz Muhammad Nuzul Dzikri, semoga makin tambah rezekinya, berkat dan selamat dunia akhirat,” tulis akaun Instagram Jody Noor.
Bersandarkan latar belakang, Nuzul Dzikri yang mendapat pendidikan awal di Jakarta menyambung pengajian Ilmu Pengetahuan Syariah di Universiti Imam Muhammad Su’ud Arab Saudi
Selepas tamat pengajian sekitar 2009, beliau aktif dengan kegiatan dakwah di tanah airnya selain kerja kemasyarakatan termasuk dengan Youth Islamic Club Study (YISC) Al Azhar di Masjid Agung Al Azhar, Kebayoran Baru, Jakarta.
Khabar pernikahan tersebut turut disambut netizen dengan gembira biarpun belum terbukti kesahihannya apabila rata-rata meninggalkan ucapan tahniah dalam laman sosial.
“Bersyukur jika benar Bella menjadi istri ketiga Ustaz Nuzul Dzikri,” tulis seorang peminat.
“Masya-Allah kak Laudya Cynthia Bella menikah dengan Ustaz Nuzul Dzikri,” tulis pengikut lain.
Begitupun, tidak lama selepas berita itu tersebar, seorang pemilik akaun Instagram iaitu Sulhidayah Syam menegaskan berita pernikahan tersebut palsu.
“Saya ingin menyatakan bahawa berita pernikahan Ustaz Nuzul Dzikri dan Laudya Cynthia Bella tidak benar,” katanya.
Aktres berusia 36 tahun itu mahupun wakilnya belum memberikan sebarang maklum balas berhubung spekulasi yang kini hangat diperkatakan.
Sebelum ini rumah tangga Laudya Cynthia Bella dengan Engku Emran yang juga bekas suami aktres, Erra Fazira hanya mampu bertahan selama tiga tahun selepas mereka memilih bercerai pada 2020. – HIBGLAM