LAZIMNYA, kita selalu dengar orang alergi atau alahan dengan habuk, ubat atau makanan.
Tindak balas alahan boleh menjejaskan saluran pernafasan, sinus dan hidung, kulit atau sistem penghadaman.
Kadang-kadang, masalah kesihatan tersebut juga boleh menyebabkan keadaan menjadi sangat serius sehingga boleh menyebabkan maut.
Daebak kali ini merangkumkan kisah beberapa artis yang mempunyai alahan pelik, namun tidak pernah mendatangkan kemudaratan kepada orang-orang sekeliling.
Hwang Min-hyun
SEMASA menjalani penggambaran video muzik Overcome, bekas anggota kumpulan Wanna One iaitu Hwang Min-hyun baru mengetahui badannya alah terhadap garam.
Menurutnya, salji yang digunakan dalam video muzik tersebut diperbuat daripada garam dan mengakibatkan kegatalan pada badannya.
Bukan itu sahaja, penyanyi berusia 29 tahun itu juga alah terhadap habuk.
Dalam rancangan I Live Alone, dia dilihat sering membersihkan dan mengelap setiap sudut sehingga digelar ‘maharaja kebersihan’.
Kim Yoo-jung
SETIAP kali jatuh sakit, pelakon Kim Yoo-jung tidak dibenarkan mengambil ubat-ubatan kerana alah terhadap antibiotik.
Dia hanya bergantung kepada herba tradisional dan sukar meneruskan penggambaran ketika sakit.
Hal ini kerana, dia akan mengambil masa yang lama untuk sembuh sepenuhnya.
Jin
JIKA anda peminat tegar penyanyi Jin pasti mengetahui betapa hebatnya skil memasak anggota kumpulan BTS itu.
Bakatnya pernah ditonjolkan dalam pelbagai program televisyen termasuk rancangan realiti berjudul Run BTS.
Namun siapa sangka, pemilik nama lengkap Kim Seok-jin pernah mendedahkan dia alah terhadap bawang putih dan kentang hingga mengalami gatal-gatal di seluruh badan.
Dia terpaksa meninggalkan hobi memasak disebabkan masalah itu.
Kim Woo-seok
KANTA lengkap adalah satu aksesori mata yang sering digunakan selebriti tidak kira perempuan mahupun lelaki lebih-lebih lagi sesiapa yang mempunyai masalah penglihatan.
Namun malangnya, penyanyi Kim Woo-seok mempunyai alahan terhadap kanta lengkap kerana matanya akan menjadi gatal dan kemerahan walaupun hanya dipakai untuk beberapa jam.
Disebabkan itu, dia memilih untuk mengenakan cermin mata jika tiada persembahan yang memerlukannya untuk menari.
Yuju
JARANG kita dengar orang mempunyai alahan terhadap buah-buahan tetapi realitinya itu yang berlaku kepada penyanyi Yuju.
Yuju atau nama sebenarnya Choi Yu-na dikatakan alah terhadap kiwi.
Menurut laporan media, bekas anggota kumpulan GFriend itu mendedahkan bahawa tekaknya akan terasa gatal dan membengkak selepas menikmati buah itu. – HIBGLAM