‘Kisah kontroversi tiada manfaat’

SELEPAS enam tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, hanya dua tahun kebelakangan ini nama Sophia Albarakbah dikenali ramai.

Bukan menidakkan bakat lakonan, tetapi realitinya Sophia mula menarik perhatian selepas namanya terpalit kontroversi bersama pelakon lelaki yang berstatus suami orang.

Bermula dengan aktor Shah Jaszle, nama wanita berusia 31 tahun semakin panas apabila turut terkait trilogi kontroversi Aliff Aziz.

Enggan dirinya dilihat sebagai pelakon kontroversi, Sophia berkeras, tidak mahu lagi dikaitkan dengan mana-mana pelakon lelaki selepas ini.

Saya tidak akan jawab soalan yang tidak berkaitan dengan saya. Bukan saya melarikan diri daripada pihak media sebelum ini, tetapi sejujurnya saya memang sangat sibuk dengan kerja.

“Maafkan saya, harap hormatilah pendirian saya yang enggan lagi menggulas tentang sebarang isu kontroversi. Saya mahu ‘move on’, cukuplah saya mahu fokus terhadap kerjaya,” kata bintang drama From Saga With Love itu.

SERING dipuji cantik bahkan dikatakan meraih tuah masuk ke dunia seni bersandarkan paras rupa, Sophia pula sebaliknya. Baginya, ramai lagi wanita lain lebih cantik berbanding dirinya.

Bukanlah melarikan diri, tetapi bagi bintang filem Saka Perawan itu, menjawab sebarang soalan berkaitan kontroversi tidak mendatangkan sebarang faedah kepadanya.

“Jujur, saya memang tidak mahu jawab soalan berkaitan atau melibatkan diri saya dengan kontroversi. Selain tidak mendatangkan manfaat, saya rasa perkara itu tidak ada kepentingan buat orang ramai.

Sebagai individu dan pelakon, saya mahu meneruskan kelangsungan hidup serta kerjaya. Jika ada kesalahan daripada pihak saya, saya akan cuba perbaiki.

“Saya faham tugas pihak media untuk bertanyakan soalan, tetapi hormatilah pendirian saya,” tegas Sophia yang kekal mengunci mulut meskipun diasak soalan demi soalan.

Dalam pada itu, Sophia kini mampu menghembuskan nafas lega apabila bakat lakonan semakin dihargai dan diterima ramai.

Jika sebelum ini, dia dikatakan hanya menjual paras rupa, tetapi selepas mencuba pelbagai watak, bakatnya mendapat pengiktirafan termasuk dinobatkan sebagai Aktres Filem Popular pada Anugerah Bintang Popular ke-35.

LEPAS naskhah komedi seram, Saka Perawan yang masih berlegar di pawagam tanah air, Sophia bakal muncul pula dengan sebuah filem aksi berjudul Reeza tidak lama lagi.

Sejujurnya saya tidak rasa diri saya cantik sebab ramai orang lebih cantik daripada saya. Apa pun, terima kasih jika ada yang berasakan saya cantik.

“Bagi saya cita rasa dan pendapat orang berbeza-beza. Cuma secara peribadi saya sendiri boleh tahu lakonan saya bertambah baik atau tidak.

Peluang sudah ada di depan mata, sudah tentu saya akan cuba yang terbaik dan perbaiki mana yang kurang demi kelangsungan karier.

“Untuk kekal lama dalam industri bukan hanya dengan wajah, tetapi bakat perlu seiring,” jelasnya.

Sambung Sophia, dia sendiri dapat melihat perubahan dalam diri selepas enam tahun berkerja sebaga pelakon.
Paling ketara adalah tahap keyakinan diri yang semakin meningkat apabila berhadapan orang ramai.

“Rezeki saya dapat melakonkan banyak watak yang berbeza.

Perubahan yang ketara selain lakonan adalah tahap keyakinan diri, sekarang saya sudah boleh berbual dan bercakap dengan sesiapa sahaja.

“Pada peringkat awal jadi pelakon dahulu, saya malu dan takut-takut.

Saya tidak tahu bagaimana untuk bercakap dan memulakan perbualan.

“Tetapi seiring dengan waktu, keyakinan diri itu mula meningkat secara perlahan-lahan,” kongsinya yang bakal muncul dengan filem aksi, Reeza. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok