PUNYA alasan tersendiri, penyanyi Shima mengakui sudah tidak berhijab sejak tiga tahun lalu selepas menghidap migrain kronik.
Bukan sengaja berbuat demikian, Shima atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, 55, berkata dia sudah mendapatkan nasihat doktor dan berbincang dengan suami sebelum memilih membuat keputusan itu.
“Sebenarnya saya sudah lama tak pakai tudung, lebih tiga tahun dah. Mungkin kehidupan saya kini agak ‘private’ dan jarang muncul dalam mana-mana program, jadi orang tak tahu.
Bukan suka-suka saya buat semua ini. Semuanya atas faktor kesihatan sebab saya selalu kena migrain, jadi saya tak boleh rasa panas, nanti sakit itu menyerang.
“Selepas dapatkan nasihat dari doktor dan berbincang dengan suami, saya buat keputusan untuk buka tudung, bukan sengaja enggan menutup aurat,” katanya kepada HibGlam
Sudah menjangka perkara tersebut akan mengundang caci maki netizen, pelantun lagu Teringin itu berlapang dada menerima setiap komen kerana faham tidak semua orang tahu hal sebenar.
Apabila saya buat keputusan untuk tidak pakai tudung, memang dah jangka ramai akan mengata tapi saya abaikan sahaja. Saya dah lali dengan semua itu. Bukannya saya baru bertapak dalam industri.
“Lagipula netizen tidak tahu cerita sebenar macam mana, biarkanlah mereka yang penting masih ada peminat yang memberikan semangat.
Selebihnya, terpulanglah kepada mereka mahu tuduh saya apa sahaja, itu antara mereka dengan Allah,” tuturnya.
Sebelum ini, nama penyanyi senior itu meledak dalam media sosial apabila dia memuat naik video tanpa berhijab dalam TikTok sehingga menimbulkan pelbagai persoalan.
Dalam video tersebut, Shima tampil dengan potongan rambut pendek dan meminta orang ramai untuk mengikuti akaun TikTok miliknya. – HIBGLAM