Kelahiran semula Sarimah Ibrahim

INGIN terus kekal dalam sebuah industri yang terlalu banyak ‘drama’, sensasi dan kontroversi bukanlah satu hal mudah.

Itu yang dituturkan oleh Che Puan Sarimah Ibrahim kepada Pose baru-baru ini apabila diminta menterjemahkan pendapatnya tentang situasi dalam industri seni yang saban hari ada sahaja cerita sensasi meledak.

Melihat terlalu banyak perkara termasuk kewujudan hal mengaibkan dan cerita pencapaian hebat selebriti tanah air kurang didendang, dia berpendapat, individu yang mahu menjejakkan kaki dalam industri seni harus mempunyai jiwa kental dan tidak mudah rapuh jika dihambat dengan sepak terajang dunia hiburan.

Baginya, kalau ada yang mahu nama mencanak naik sekelip mata, caranya hanya satu iaitu mencipta atau terpalit dengan kontroversi.

Si jelita ini meletakkan kualiti sebagai keutamaan dalam setiap hasil kerjanya.

Kata Sarimah, perkara itu kedengaran mudah tetapi realitinya bukan semua anak seni mampu untuk lakukannya, namun jika formula itu berjaya, sebaliknya pula berlaku.

Justeru, tidak hairanlah wujud segelintir selebriti yang sentiasa dahagakan cerita sensasi semata-mata untuk meledakkan nama.

“Apa yang saya boleh simpulkan ialah industri seni ini macam pelaburan saham, ada turun naik.

Ada orang naik terlalu cepat dan jatuh juga laju. Selalunya mereka lebih utamakan kontroversi berbanding kualiti kerja.

“Wujud juga artis yang naik dan kerja keras serta kurang cerita sensasi untuk kekalkan momentum,” katanya.

Tambah isteri kepada Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar itu, dia juga menyifatkan setiap individu yang ingin cepat popular perlu mempunyai mental yang kuat bagi menghadapi apa sahaja perkara mendatang.

Satu perkara yang saya perasan ialah wujud segelintir pempengaruh media sosial yang masuk industri mahu kejar populariti tapi sukar untuk kekalkannya.

“Hendak popular, fizikal dan mental perlu kuat dan dijaga. Kalau kurang salah satu, memang akan sukar nama untuk kekal dalam industri,” jelasnya.

Kembali aktif berlakon tahun lalu, Sarimah tidak menyangka kemunculan semulanya dinanti ramai.

Ibu kepada seorang cahaya mata perempuan itu menambah, mana-mana selebriti yang popular kerana kontroversi sukar untuk kekal lama dalam industri.

Baginya, ada yang mampu memberi kerja berkualiti, namun disebabkan terlalu mengejar populariti, kerjaya seni lenyap begitu sahaja.

“Sekarang, saya juga perasan bahawa kalau nak cepat popular perlu sentiasa ada cerita viral.

“Perkara itu sukar sebab bukan semua perkara boleh viral. Artis pula yang kena kejar kontroversi sekarang ini supaya terus dikenali.

“Buruknya, orang akan kenal disebabkan cerita sensasi, kerja seni tidak dipandang. Sebenarnya situasi ini berlaku dalam industri kreatif di seluruh dunia, bukan hanya di Malaysia sahaja,” tuturnya.

Beralih kepada keputusannya untuk kembali aktif sebagai pelakon sejak tahun lalu, wanita berdarah kacukan Melayu, Cina, Irish dan Itali itu berkata, kehidupannya sebagai pelakon seperti kelahiran semula.

SARIMAH mengimpikan untuk memegang karakter yang lebih ‘fun’ memandangkan kerap diberi watak beremosi sebelum ini.

Dia juga mengakui terharu keputusannya untuk kembali mewarnai dunia seni tanah air disambut baik oleh semua pihak bahkan ramai yang teruja melihatnya berlakon semula.

Seiring dengan sambutan Awal Muharam hari ini, dia berkata, menjejakkan semula kaki dengan lebih aktif ibarat permulaan baharu buat dirinya tetapi dengan lebih berprinsip.

“Alhamdulillah ramai seronok melihat saya kembali aktif berlakon. Tidak sangka keputusan untuk terlibat dalam drama Perempuan Itu meledakkan kembali nama.

“Rupa-rupanya ramai juga peminat, insya-Allah akan berikan sehabis baik kali ini,” katanya yang bakal ‘comeback’ sebagai hos dengan sebuah program televisyen (TV) tidak lama lagi.

Bukan hanya drama dan program TV, dia juga turut berharap dapat kembali menghiasi layar perak seperti zaman kegemilangannya suatu ketika dulu.

“Ketika ini, fokus utama adalah sebagai pelakon tetapi tetap mengejar sebagai pengacara ‘live show’.

“Saya juga tetap mahu kembali sebagai pelakon filem sebab saya bermula dari situ.

“Bukan tamak tetapi inilah kepuasan saya sebagai seorang anak seni sejak lebih dua dekad lamanya,” jelasnya.

Berkongsi lanjut, Sarimah berkata, prinsipnya sebagai seorang pelakon ialah perlu sentiasa bersedia tanpa menyusahkan mana-mana pihak.

SUAMI tidak pernah menghalang untuk kembali aktif namun meletakkan syarat agar sentiasa menjaga kesihatan meskipun sibuk bekerja.

Satu hal yang menjadi ‘amalan’ bintang filem Janji Diana itu ialah membuat persediaan awal termasuk membaca keseluruhan skrip sesebuah program dan naskhah televisyen mahupun filem.

“Saya adalah individu yang akan buat kajian menyeluruh dan akan baca skrip pelakon lain juga untuk kesenangan diri sendiri.

“Kalau mengacara, saya akan baca skrip hos lain. Itu cara saya bekerja. Prinsip saya ialah sentiasa bersedia dan menjaga disiplin.

“Saya akan pastikan semuanya terjaga dan menjangkakan hal sama daripada orang lain juga di set penggambaran,” tuturnya lagi.

Bukan berniat untuk berlagak diva atau sebagainya, perkara yang dilakukan itu adalah untuk memberi kesenangan kepada semua pihak selain enggan dilabel sebagai pelakon atau hos sambil lewa.

“Masing-masing perlu tahu tugas sendiri. Tidak kira di mana pun kita bekerja termasuk di set penggambaran.

“Saya letakkan satu standard di situ dan tiada istilah ulang kesilapan sama dalam hidup saya.

“Sentiasalah bersedia untuk setiap perkara sekali pun walau mendapat watak sampingan,” kongsinya seraya mengakhiri perbualan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok