Kekal jelita, muda tanpa ‘renovasi’

BERCERITA mengenai artis Korea Selatan, pasti ramai yang membayangkan tentang wajah cantik dan kulit mulus tanpa sebarang cela.

Ramai yang sudah menjangka selebriti negara itu, terutama wanita cenderung melakukan pembedahan plastik bagi mendapatkan wajah yang cantik dan sempurna.

Pembedahan plastik juga sudah menjadi kebiasaan dalam industri hiburan K-pop, namun masih ramai artis negara itu enggan menjalani kaedah sedemikian namun tetap kekal cantik.

Kali ini, Daebak menyenaraikan beberapa nama selebriti yang mengekalkan kecantikan tanpa melalui proses pembedahan plastik.

Song Hye-kyo

Ramai bersetuju pelakon Song Hye-kyo diangkat sebagai ikon ‘natural beauty’ (kecantikan semula jadi) dalam kalangan selebriti Korea.

Tiada siapa yang dapat menyangkal kecantikan semula jadi dimiliki pelakon drama Descendent of the Sun itu kerana foto-fotonya dari zaman remaja sehingga kini tiada sebarang perubahan.

Tidak hairanlah, dia masih dipilih menjadi duta beberapa jenama kecantikan walaupun pada usia 42 tahun.

Kim Tae-hee

Pelakon Kim Tae-hee sangat terkenal dengan kecantikan semula jadi dan tidak melakukan pembedahan plastik.

Malah, dia sudah terkenal sejak zaman pengajian di Universiti Kebangsaan Seoul disebabkan kejelitaannya.

Pelakon drama Stairway to Heaven itu pernah berkongsi dua tip untuk kekal cantik di usia 40-an hanya dengan penggunaan produk selain bijak mengawal stres agar kekal bahagia.

Sandara Park

Penyanyi kumpulan 2NE1, Sandara Park terkenal dengan wajah yang muda sehingga ramai yang keliru dengan usia sebenarnya.

Kecantikan Sandara atau lebih mesra disapa Dara itu sangat dikagumi sehingga digelar ‘Vampire Goddness’ disebabkan wajah yang tidak berubah walaupun sudah berusia 39 tahun.

Selain tampak awet muda, pelantun lagu I Am The Best itu juga bijak dalam permainan fesyennya dari segi pemilihan busana, dandanan rambut sehingga ke aksesori yang digayakan semuanya me­mainkan peranan untuk kelihatan lebih muda berbanding usia sebenar.

Park Shin-hye

Biarpun sedang meniti ke usai 40-an, pelakon Park Shin-hye masih lagi dipilih menyertai kempen jenama produk kecantikan disebabkan kejelitaannya.

Dia dikatakan sangat menitikberatkan rutin penjagaan kulit supaya dapat mengekalkan kesihatan wajah.

Selain itu, pelakon drama popular The Heirs itu juga memilih solekan ringan semasa musim panas kerana memahami keadaan kulitnya yang cenderung berminyak jika mengenakan solekan berat.

Yoona

 

Berada dalam senarai teratas, penyanyi kumpulan Girls Generation iaitu Yoona sememangnya mempunyai kecantikan semula jadi.

Pada 2013, Yoona atau Shin-hye, 34, pernah meraih undian tertinggi sebagai Wanita Paling Cantik oleh Independent Crisis dan dipilih sebagai The Most Beautiful Asian anjuran China Magazine.

Disebabkan masih kelihatan awet muda, dia pernah dituduh menjalani pembedahan plastik pada 2019.

Setelah dibandingkan dengan gambar lamanya beberapa tahun lalu, pelakon drama King The Land itu sememangnya tidak dimamah usia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok