Kali Kedua meroket di Borneo

SAIFUL Jaicob atau nama sebenarnya Md. Noor Saifullah yang merupakan penyanyi dan komposer Sabah kini kembali dengan single terbarunya berjudul Kali Kedua.

Merupakan ciptaan sendiri, manakala lirik oleh Kent dan menjalani proses rakaman di Patauboys Home Studio, Sabah, Saiful berkata, karya tersebut mempunyai makna cukup mendalam buat dirinya.

Sebelum ini, Saiful Jaicob mempunyai beberapa buah single pada tahun 2014 dan telah menemui langkah untuk menceburi dalam dunia nyanyian apabila menyertai sebuah program anjuran syarikat rakaman, Luncai Emas pada tahun 2017 bersama beberapa komposer tempatan Sabah yang lain.

Dari situlah bermula titik permulaan buatnya merakamkan lagu Kali Kedua.

Menurut Saiful, Kali Kedua mengisahkan tentang ketegasan prinsip seorang insan yang pernah ditinggalkan dahulu kemudian dirujuk kembali, namun menolak dengan sepenuh hati.

Hal ini kerana, kisah pahit akibat ditinggalkan meninggalkan kesan hitam dan hilangnya perasaan untuk membina semula cinta yang musnah.

“Biarpun kadang-kadang terfikir untuk memberi peluang kedua, namun biarlah saya fikir semuanya hanya khayalan semata-mata demi kelangsungan hidup.

“Kesengsaraan itu biarlah cuma sekali dan pastinya tidak berulang untuk kali kedua,” kata Saiful.

Tambahan pula, Kali Kedua berjaya menjadi pencalonan baharu dalam Carta Lagu Artis Sabah (CLAS) pada 1 April 2024 dan kini sudah memasuki minggu ke-13 dan menduduki tangga kedua.

“Kent yang hantar lagu ini pergi RTM Sabah, dan masuk dalam pencalonan baharu. Akhirnya RTM Sabah hubungi saya selepas lagu ini lulus untuk siaran. Mungkin rezeki saya.

“Saya amat terpegun kerana lagu ini telah menduduki tangga nombor dua dan berharap boleh bertahan hingga ke minggu akhir sekali gus menjuarai dalam Carta Lagu Artis Sabah 2024,” ujarnya lagi.

Kali Kedua boleh didengari di semua saluran digital mulai 5 Julai 2024 dan laman YouTube. Para peminat boleh membuat undian di ruangan Facebook Carta Lagu Artis Sabah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok