BERANG dilempar tuduhan tak berasas, pelakon Datin Intan Najuwa nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu yang mendakwa dia tidak membayar gaji pekerja.
Intan atau Intan Najuwa Abdul Wahid, 27, berkata, tindakan tersebut dilakukan selepas dia meminta untuk bersemuka dengan individu yang menabur fitnah itu.
“Inilah lelaki yang cari fasal dengan saya. Mari, saya nak berjumpa dengan awak sebab saya pun tak kenal awak.
“Saya beri awak masa 24 jam untuk berdepan dengan saya, kalau tidak saya akan ambil tindakan undang-undang.
“Saya tak takut sebab kebanyakan pekerja yang buat fasal dengan saya,” katanya dalam InstaStory.
Intan menafikan dakwaan tersebut dan berkata tidak berhutang dengan mana-mana individu sebaliknya orang lain yang berhutang dengannya.
Kata Intan, dia tidak pernah gagal membayar gaji pekerja malah sentiasa menjaga kebajikan mereka termasuk memberi bonus.
“Tolong dedahkan sebab saya pun tertanya-tanya. Maaf ya, saya tak ada hutang duit orang sedangkan orang hutang dengan saya yang ramai.
“Semua pekerja yang kerja dengan saya dapat gaji dan bonus lagi. Jadi, kalau setakat nak burukkan nama saya beringat sikit. Cari fasal dengan saya dan awak akan menyesal,” ujarnya.
Berkongsi lanjut perkara itu, Intan memberitahu tidak timbul isu dia tidak membayar gaji pekerja melainkan mereka tidak melakukan tugas dengan amanah.
Pelakon drama Pink Smile itu mendedahkan sebelum ini dia pernah berdepan dengan beberapa pekerjanya yang bermasalah termasuk mencuri namun tidak tergamak membuat laporan polis.
“Siapa pula pekerja yang saya tak bayar gaji ini melainkan kalau dia tak buat kerja, memang saya buang terus.
“Pekerja songlap (curi) duit saya ada, curi duit pun ada. Cuma kita ni malas nak berdendam tak buat laporan polis pun.
“Yang makan gaji buta pun ada. Pekerja yang buat kerja macam budak tadika selepas itu tiba-tiba minta macam-macam pun ada,” katanya lagi.
Dalam hantaran berbeza, pelakon Racun Rihanna itu turut memuat naik tangkap layar perbualan WhatsApp dipercayai dengan peguam agar tindakan undang-undang diteruskan.
Menerusi perkongsian sama, dia turut memuat naik wajah dan tangkap layar komen seorang lelaki yang mengingatkan aktres berkenaan agar tidak lupa membayar gaji pekerja.
Dakwaan tersebut tercetus selepas Intan memuat naik hantaran mengumumkan kehamilannya semalam yang kini sudah memasuki trimester kedua. – HIBGLAM