Jiwa kental 5 bintang pejuang kanser

KANSER merupakan sejenis penyakit yang menyebabkan sel dalam badan mula membahagi pada kadar yang abnormal.

Ada antara golongan selebriti turut menjadi pejuang kanser yang melawan penyakit dihidapi mereka tanpa mengenal putus asa.

Selebriti yang berdepan dugaan sebegini enggan menyerah dan berusaha bangkit melawan sel barah menerusi rawatan dan sokongan insan sekeliling.

Kali ini, Daebak menelusuri perjalanan beberapa selebriti Korea Selatan yang pulih daripada penyakit barah dan kembali aktif berkarier.

Kim Woo-bin

PEMINAT drama Korea dikejutkan dengan berita pelakon lelaki kesukaan ramai iaitu Kim Woo-bin yang didiagnos kanser nasopharyngeal pada 2017.

Akibat kesihatan yang terjejas, dia memilih untuk berehat daripada segala aktiviti bagi mengikuti sesi rawatan.

Semasa mendapatkan rawatan, aktor berusia 35 tahun itu perlu menjalani kimoterapi selain melakukan terapi radiasi.

Hasil perjuangannya, Woo-bin akhirnya sembuh dan kembali ke dunia seni lakonan dengan projek drama Netflix bertajuk Black Knight.

Park So-dam

KETIKA berusia 29 tahun, pelakon Park So-dam didiagnos menghidap kanser tiroid papilari yang mengakibatkan kerjayanya dihentikan seketika.

Bintang filem popular, Parasite itu meluahkan tidak selesa kerana suaranya tidak boleh dikeluarkan dan juga susah untuk bergerak.

Meskipun menjalani kehidupan yang sulit, Do-dan tidak menyerah kalah dan berusaha untuk bangkit.

Pada Disember 2021, So-dam selamat menjalani prosedur pembedahan tetapi proses pemulihan agak sukar buat dirinya.

Bagaimanapun, dia berjaya melengkapkan penggambaran drama Death’s Game yang ditayangkan pada 15 Disember 2023.

Hong Jin-kyung

NAMPAK ceria tetapi siapa sangka pelakon Hong Jin-kyung rupa-rupanya sedang berjuang melawan penyakit kanser ovari pada 2014.

Setelah dua tahun menjalani perubatan, Jin-kyung akhirnya sembuh dan bebas daripada penyakit tersebut.

Kini, model, pengacara, pelawak, penyanyi dan ahli perniagaan itu terbabit sepenuhnya dalam industri hiburan Korea Selatan.

Jeong Mi-ae

SECARA tiba-tiba penyanyi, Jeong Mi-ae memutuskan untuk berehat pada 2021 walaupun terpilih sebagai runner-up program Tomorrow’s Mistrot.

Rupa-rupanya, Mi-ae menghidap kanser lidah tahap tiga yang membuatkannya kehilangan suara.

Tidak berputus asa, dia menjalani pembedahan untuk membuang satu pertiga daripada lidahnya.

Dia turut menghabiskan sebahagian besar tahun 2021 dan 2022 untuk pemulihan supaya boleh bercakap dan menyanyi semula.

Uhm Jung-hwa

TAHUN 2008 merupakan mimpi ngeri buat pelakon Uhm Jung-hwa apabila diduga dengan  kanser tiroid.

Sejak disahkan menghidap barah, bintang drama Doctor Cha itu tegar menjalani sesi rawatan dan melakukan pembedahan.

Namun, selepas menjalani prosedur pembedahan, dia kehilangan suara selama lapan bulan sehingga menyebabkan karier nyanyiannya terjejas.

Lama-kelamaan, pita suara penyanyi itu kembali pulih malah dapat meneruskan karier lakonan serta nyanyian. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok