Jezamine dapat hak penuh penjagaan anak – Harith Iskander

PELAWAK Harith Iskander bersetuju untuk menyerahkan hak penjagaan anak-anak kepada bekas isteri, Dr. Jezamine Lim.

Harith Iskander Musa, 57, berkata, dia enggan berbalah mengenai perkara itu memandangkan mereka sudah capai kata sepakat tentang pengurusan anak-anak.

Harith juga bersetuju perihal lawatan dan hak bermalam ke atas tiga anak mereka pada bila-bila masa mengikut ketetapan perjanjian.

“Hak penjagan anak diberikan kepada bekas isteri tetapi saya bebas untuk menghabiskan masa dengan anak-anak.

“Saya boleh datang melawat anak-anak dan menghabiskan masa dengan mereka pada bila-bila masa.

“Saya akan menghantar anak ke sekolah dan kelas tuisyen,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, di sini bagi prosiding hak hadanah dan tuntutan harta sepencarian.

Mengulas lanjut, Harith berkata, sebagai bapa dia ingin memberikan persekitaran yang harmoni buat anak-anak meskipun sudah berpisah dengan bekas isteri.

“Saya ingin hubungan kekeluargaan tetap sama. Saya ingin mereka tahu bahwa kasih sayang kami tetap sama terhadap mereka,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai tuntutan harta sepencarian, Harith memberitahu, tiada perkara berbangkit memandangkan mereka masih lagi menguruskan beberapa syarikat secara bersama.

“Buat masa ini kami menguruskan syarikat secara bersama. Saya ada syarikat sendiri, begitu juga Jezamine.

“Tanggungjawab tidak bertukar, Jezamine juga masih menjadi pengurus saya dan menguruskan aktiviti kerjaya saya secara profesional,” ujarnya.

Sebelum ini pada 25 Julai lalu, Harith dan Dr Jezamine, 41, sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur disebabkan tiada lagi persefahaman antara mereka berdua.

Datuk Akberdin Abdul Kader selaku peguam syariah mewakili pasangan itu.

Untuk rekod, Harith dan Jezamine, 41, mendirikan rumah tangga pada 12 Jun 2010.

Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Zander Xayne, 14, Alessandra Jayne, 11 dan Zydane Zayne yang berusia 9 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok