Anak kepada pempengaruh media sosial, Ryan Bakery dimasukkan ke hospital selepas doktor mengesahkan puteranya itu dijangkiti kuman dalam darah.
Sebelum itu, anaknya, Ryan Ezra mengalami batuk dan demam berpanjangan sejak 16 Julai lalu.
“Mulanya dia batuk, demam, selesema dan kurang aktif. Malam (Selasa) itu kami bawa dia ke hospital untuk dapatkan rawatan.
“Tapi keesokan (Rabu) keadaan semakin baik namun hari ini panasnya kembali naik dan batuk bertambah teruk membuatkan kami bawa dia ke hospital semula.
Doktor mengesahkan Ezra mempunyai kahak yang banyak di dalam paru-parunya dan terus ditahan di wad,” katanya.
Ryan atau nama lengkapnya Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 29, yang juga pelakon dan penyanyi itu mengakui kejadian tersebut menjadi pengajaran buat dirinya supaya tidak memberikan orang luar menyentuh buah hatinya yang baru berusia tujuh bulan itu.
“Sebelum ini dia tidak pernah demam seteruk ini agak risau sebab ini pertama kali dan jadi pengajaran buat saya supaya tidak beri orang cium anak kita sesuka hati.
“Bila jadi macam ini, hanya saya dan isteri yang lalui bersama anak kami.
Sebagai bapa saya terpaksa pura-pura kuat sebab isteri saya pun menangis melihat anak kami,” jelasnya.
Dalam pada itu, pelakon filem Zim Zim Ala Kazim itu berharap orang ramai mendoakan kesembuhan putera sulungnya itu.
Saya harap semua pihak boleh doakan anak saya kembali sihat tubuh badannya,” ujarnya.
Terdahulu, Ryan dan Elyia Ibrahim mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2022 dan hasil perkahwinan mereka memiliki seorang cahaya mata lelaki pada 30 Disember lalu. – HIBGLAM