[VIDEO] Jangan terlalu mudah percayakan orang industri – Ammar Titan

GARA-GARA kontroversi sekitar tujuh tahun lalu dan tiada tawaran kerja, pelawak Ammar Titan mengakui pernah dipulau rakan dan penggiat industri.

Menurut Ammar atau nama sebenarnya, Azizul Ammar Abu Hassan, 37, perkara tersebut telah membuka matanya agar tidak terlalu mudah mempercayai orang lain.

“Ada yang menjauhi dan memulaukan saya. Jika sebelum ini kami selalu bermain badminton bersama tetapi selepas terpalit kontroversi bila saya minta tolong semua beri alasan sibuk.

“Saya tidak kisah, kawan tetap kawan tidak kira orang industri atau bukan. Saya okey sahaja. Saya jadi lebih peka, matang dan sedar janganlah terlalu mudah percayakan orang industri. Akhirnya kita juga yang perlu jaga diri sendiri,” kata Ammar.

Terdahulu, Ammar pernah teruk dikecam kerana mempersendakan bekas pelari pecut kebangsaan Watson Nyambek menerusi sebuah program komedi.

Disebabkan itu, dia telah didakwa di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas tuduhan mengaibkan dengan niat memecahkan keamanan secara sengaja.

Meski kontrovesi itu menjejaskan kerjaya seninya, Ammar melihat kejadian itu sebagai hikmah.

“Terlalu banyak yang saya belajar daripada kejadian itu antaranya, orang hanya akan baik dengan kita apabila kita ada kepentingan kepada mereka.

“Ketika kita berada di bawah tidak ada orang yang mencari kita. Tetapi ketika itu juga Allah buang orang yang tidak sepatutnya ada dalam kehidupan saya,” tutur Ammar yang kini bekerja sebagai ejen insurans.

Berkongsi tentang filem Siapa Buka Lampu? lakonan terbaharunya, Ammar mengakui cukup teruja kerana berpeluang bekerjasama dengan sutradara Indonesia, Reka Wijaya.

“Saya pelakon asal filem Siapa Tutup Lampu? dan kini membintangi Siapa Buka Lampu?. Apa yang boleh saya katakan kali ini agak berbeza kerana pengarah dan kru adalah dari Indonesia.

“Gabungan bersama pengarah dan pelakon Indonesia, Malaysia serta Thailand memberi warna yang berbeza.

“Pemikiran sutradara Reka Wijaya memang tidak sama dengan kita di Malaysia. Mungkin kerana itu, hasilnya sangat menarik dan lawaknya disesuaikan bukan sahaja untuk penonton Malaysia tetapi juga Indonesia,” jelas Ammar.

Filem Siapa Buka Lampu? terbitan SG Entertainment & Advertising dengan kerjasama LC Film Sdn. Bhd. dan Horizon Film Entertainment Sdn. Bhd telah menelan kos pembikinan sebanyak RM1.3 juta.

Selain Ammar, naskhah bergenre seram komedi  yang menggegar pawagam bermula 4 Julai llau itu turut dibintangi Qasrina Karim, Punnagai Poo Gheetha, Bell Ngasri, Issey Fazlisham, Gesya Shandy, Angie Ang, Mamak Puteh, Tia Tavee dan Geoff Feyaerts. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok