Jangan tanya lagi soal cinta, kahwin – Sophia Albarakbah

PELAKON jelita Sophia Albarakbah berharap orang ramai tidak lagi mengajukan soalan mengenai perkahwinan selepas melalui fasa putus cinta dengan lelaki dikenali sebagai Mr. Doktor sebelum ini.

Sophia, 30, berkata, dia kini sedang memperbaiki diri untuk menjadi individu lebih baik selain berterima kasih kepada orang ramai yang sentiasa prihatin dengan kehidupannya.

Saya juga pernah melakukan kesilapan dan sedang perbaiki diri malah turut berdoa dia juga menjadi orang yang lebih baik.

“Harapnya, tiada lagi pertanyaan tentang hubungan atau bila hendak kahwin selepas ini.

Terima kasih atas semua keprihatinan anda. Buat masa ini, keutamaan saya adalah kerjaya, diri sendiri dan orang lain termasuk keluarga serta kawan yang telah membantu saya sembuh,” katanya dalam Instagram.

TANGKAP layar perkongsian Sophia mengenai hubungan dengan bekas teman lelaki dan perihal kahwin.

Dalam pada itu, bintang filem Miimaland itu mengakui masih berkawan dengan bekas teman lelaki dan sentiasa mendoakan yang terbaik buat individu berkenaan.

“Saya kerap dapat pertanyaan berhubung hal ini dan kali ini akan jelaskannya. Kami tidak lagi bersama tetapi tetap berkawan rapat.

Saya tidak pernah menghakimi pilihan hidupnya ditambah pula kami mempunyai pandangan dan keperluan hidup berbeza.

“Dia adalah individu yang baik dan kami memilih untuk kekal berkawan,” jelasnya.

Dia berkata demikian bagi menjawab soalan yang diajukan netizen dalam ruangan InstaStorynya.

Terdahulu, pada September tahun lalu, Sophia mengesahkan hubungan cintanya dengan lelaki dikenali Mr Doktor sudah berakhir namun tidak mendedahkan punca perpisahan tersebut.

Dia turut mengakui perpisahan adalah perkara perit untuk dilalui memandangkan hubungannya dengan lelaki itu sudah terjalin hampir dua tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok