Jangan paksa orang menyukaimu, Hafiz Suip luah perasaan?

TINDAKAN penyanyi Hafiz Suip memuat naik sekeping foto dirinya berlatarbelakangkan audio mengenai seseorang yang dinilai masyarakat mengundang kebimbangan peminat.

Mana tidaknya, perkongsian pemilik nama sebenar Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 35, menerusi TikTok itu seolah-seolah menggambarkan dirinya kini berada di fasa terendah dalam hidup.

Jangan paksa mereka untuk menyukaimu kerana mereka punya hak untuk menilai.

“Kewajibanmu hanya berbuat baik bukan dinilai baik,” demikian kenyataan dalam audio tersebut.

Seakan memahami apa yang ingin diluahkan Hafiz, rata-rata netizen merindui zaman kegemilangan pelantun lagu Bahagiamu Deritaku itu selain tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat.

Enggan bakat disia-siakan begitu sahaja, ada segelintir netizen berharap agar Hafiz kembali menyanyi dan berentap di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

Entah apa yang dialami Hafiz sampai dia ambil keputusan untuk menyepi. Rindu zaman dia aktif menyanyi, suara dia sangat berkualiti,” kata netizen.

“Tolong aktif kembali dan berentap dalam AJL, sesungguhnya kami sebagai peminat sangat merindui suara lunak awak Hafiz,” demikian komen seorang peminat.

Terdahulu, Hafiz menganggap dirinya sudah tidak relevan untuk bergelar penyanyi.

Kenyataan itu dibuat ketika membalas komen seorang pengguna media sosial yang memintanya untuk kembali aktif dalam industri hiburan.

Pun begitu, ada segelintir netizen memahami keputusan penyanyi itu yang mahu berehat dan tidak muncul dalam mana-mana acara pentas mahupun kaca televisyen.

Dalam masa sama, timbul dakwaan rumah tangganya bersama isteri, Nureffy Jesreel Abdullah sedang bergolak.

Sebelum itu, Hafiz didakwa menghilangkan diri selepas menyahaktif akaun Instagram miliknya.

Hafiz dan Nureffy yang mendirikan rumah tangga pada 14 Mei 2016 dikurniakan dua cahaya mata lelaki. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok