Jadi mutawif, Ilya Senario bawa rombongan pertama Disember ini

PELAWAK Ilya Senario meluahkan hasrat bakal bersara bagi membolehkan dirinya menumpukan sepenuh perhatian terhadap tanggungjawab sebagai mutawif.

Ilya atau nama lengkapnya Ilya Buang Shaharum, 57, berkata, dia kini menjalani kursus selama tiga bulan sebagai persediaan sebelum bergelar mutawif.

“Pada usia begini saya fikir ingin bekerja yang lebih dekat dengan agama dan Tuhan.

Saya pun ada terfikir sampai bila hendak naik pentas buat lawak. Mungkin saya masih lagi akan berlawak, tetapi kali ini dengan kumpulan yang berbeza.

“Insya-Allah saya akan bergelar mutawif dan bakal membawa jemaah pertama pada 4 Disember depan,” katanya.

Mengulas mengenai keputusannya untuk meninggalkan dunia hiburan dan beralih kepada mutawif, Ilya atau mesra dipanggil Pak Ya berkata, hal itu sudah lama difikirkannya.

Jelas pelakon filem Sumpahan Syaitan itu, keinginan untuk menunaikan ibabah haji secara tidak langsung mendorong dirinya menerima tawaran menjadi mutawif.

“Saya sebelum ini ingin membuat ibadah haji, tetapi tidak berkesampaian kerana masih belum giliran. Walaupun sudah membuat rayuan, tetapi masih gagal.

Kalau boleh saya ingin menjejakkan kaki ke Tanah Suci sebelum menutup mata. Jadi apabila dapat tawaran ini, saya fikir ini satu peluang besar untuk saya lebih banyak beribadah.

“Mungkin dalam rombongan pertama nanti saya lebih kepada menghiburkan mereka kerana belum jadi mutawif sepenuhnya sebab masih pelajar praktikal,” katanya.

Mutawif berperanan membantu, memberi nasihat, sekali gus memudah serta melancarkan perjalanan ibadah jemaah di Tanah Suci Mekah.

Ilya yang juga merupakan anggota kumpulan pelawak Senario itu kini aktif membuat persembahan pentas komedi dengan kumpulan Sepahtu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok