Jadi guru tadika bentuk keyakinan sebagai pendakwah – Ustaz Don

PENGALAMAN sebagai guru tadika sekitar lebih 15 tahun lalu berjaya membentuk keyakinan pendakwah sensasi, Ustaz Don Daniyal untuk menyampaikan ceramah di hadapan umum.

Pemilik nama lengkap Don Daniyal Biyajid, 40, itu memberitahu, dia menggunakan pendekatan bercerita sebagai kaedah pembelajaran bagi kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun.

Diberi kepercayaan mengajar dalam subjek Bahasa Inggeris, Don mengakui pendekatan menyampaikan dakwah dalam bentuk penceritaan dapat membantu kefahaman kanak-kanak pada usia awal dan lebih menyeronokkan.

KATA Ustaz Don, pengalaman mengajar di sebuah tadika membentuk dirinya sekarang sebagai seorang pendakwah terkenal.

“Tempoh saya mengajar tidak terlalu lama kerana bertugas sebagai guru sementara. Ketika itu menunggu untuk melanjutkan pengajian.

“Setiap petang saya akan berkumpul dengan mereka untuk bercerita tentang kisah nabi.

“Boleh dikatakan mereka ini juga yang membantu saya membentuk keyakinan diri untuk berani bercerita dalam menyampaikan dakwah,” katanya yang bertugas di salah sebuah tadika di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Biarpun hanya menjalani tempoh masa singkat sebelum menyambung pengajian ke luar negara, Ustaz Don bagaimanapun berkata, pengalaman itu menjadi langkah awal membentuk jati diri sehingga mampu menjadi pendakwah terkenal.

Malah, Don juga bersyukur kerana diberi peluang itu kerana pada waktu itu, guru lelaki sukar untuk diterima mengajar di tadika.

“Waktu itu tiada tadika yang ingin menerima guru lelaki untuk mengajar kerana bimbang jika berlaku macam-macam perkara.

“Mujurlah pengasas tadika itu kawan kepada ibu saya dan dia beri saya peluang untuk mengajar di sana,” ujarnya yang kini sebagai Pengasas Bersama dan Penasihat Akademik Islamik KinderHive.

Penasihat akademik

Ustaz Don Daniyal (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Hivedeal Sdn. Bhd., Khairul Nazli Mohd. Ali (kiri) ketika bertukar dokumen kerjasama pada majlis menandatangani kerjasama antara Agami Group dan syarikat tersebut.

Pusat berkenaan merupakan sebuah institusi pendidikan awal kanak-kanak berkonsepkan nilai-nilai Islam.

Kata Ketua Pegawai Eksekutif Hivedeal Sdn. Bhd. iaitu Khairul Nazli Mohd. Ali, pemilihan Don dibuat berdasarkan pengalaman pernah menjadi guru tadika dan mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia.

“Kami percaya dengan kepakaran ilmu Ustaz Don termasuk pasukan Agami Group (syarikat milik Don) dan KinderHive akan membantu untuk memberikan pendidikan terbaik buat kanak-kanak.

“Don memiliki personaliti mudah didekati dan pemilihannya sangat sesuai, selain dikenali tidak mengira peringkat usia,” katanya.

KinderHive kini mempunyai empat cawangan di Selangor iaitu di Elmina, Banting dan Seksyen 8, Shah Alam merancang untuk membuka sekitar 15 cawangan baharu lagi pada 2025.- HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok