BAGAI bulan jatuh ke riba, itulah pepatah paling sesuai bagi menggambarkan betapa bertuahnya seorang peminat penyanyi K-pop kelahiran Hong Kong, Jackson Wang apabila menerima sebuah beg tangan mewah jenama Louis Vuitton (LV) daripadanya.
Dalam video tular yang dimuat naik menerusi akaun media sosial, kelihatan Jackson memberikan beg berserta tandatangannya di atas kotak aksesori tersebut kepada seorang peminatnya.
“Adakah kalian merupakan pasangan kekasih? Soal Jackson kepada peminatnya.
Lantas dia mengeluarkan beg tangan tersebut daripada kotak dan menyerahkan kepada peminat tersebut.
Momen istimewa itu mendapat sorakan gemuruh ribuan peminat yang setia menunggu di luar pekarangan butik jenama mewah dari Peranchis berkenaan.
Jackson hadir ke pusat beli belah terkenal Pavilion Kuala Lumpur sempena pembukaan butik Louis Vuitton yang berlangsung semalam.
Sebagai duta jenama tersebut, kehadiran Jackson yang juga merupakan ahli kumpulan Got7 sememangnya dinanti-nantikan pengikutnya.
Bahkan, berita mengenai kunjungan bintang berusia 30 tahun itu ke Kuala Lumpur hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu.
Melalui perkongsian netizen dalam laman media sosial, kelihatan ramai peminat Jackson telah berhimpun di Pavilion sejak pukul 10 pagi biarpun acara hanya bermula pada sebelah malam.
Selain Jackson, acara tersebut turut dihadiri barisan selebriti tempatan antaranya Scha Al-Yahya, Awal Ashaari, Eyka Farhana, Alicia Amin, Alvin Chong, Siti Saleha dan ramai lagi. – HIBGLAM