LAMA vakum daripada sebarang projek lakonan, pelakon Izara Aishah kini selektif apabila hanya akan mempertimbangkan tawaran berlakon filem sahaja.
Izara atau nama lengkapnya Nik Izara Aishah Nik Izazurin, 32, memberitahu dia juga menunggu tawaran berlakon bersesuai dengan imej bertudung dan statusnya isteri yang sibuk dengan perniagaan.
“Tiada masa untuk berlakon kerana saya sangat sibuk menguruskan perniagaaan. Buat masa sekarang, saya menunggu tawaran berlakon yang sesuai.
“Kalau boleh saya lebih senang untuk berlakon filem. Bagilah muka baharu untuk berlakon drama kerana saya sekarang ingin fokus kepada tawaran filem sahaja,” katanya.
Tambah Izara, selain mengharapkan watak yang bersesuaian dia juga ingin muncul dalam naskhah penceritaan yang berbeza dan tidak stereotaip.
“Kebanyakan tawaran yang datang tidak bersesuaian dengan penampilan saya, malah tawaran itu juga melibatkan cerita tentang percintaan.
“Terus terang saya tidak berminat untuk berlakon cerita percintaan sekarang kerana lebih mengharapkan cerita tentang kekeluargaan dan kisah benar.
“Kalau ada cerita tentang kekeluargaan seperti Kabhi Khushi Kabhie Gham, adik-beradik atau mak ayah. Cerita begitu saya suka,” jelasnya.
Katanya, dia juga lebih berminat untuk berlakon dalam karya yang lebih realistik dan bersesuaian dengan tontonan.
“Saya suka berlakon benda yang logik, jadi secara logik babak isteri bertudung dalam bilik dengan suami. Perkara itu tidak logik dan saya tidak suka.
“Jadi itu agak berat sikit kerana perkara begitu yang membuatkan saya sukar untuk diterima berlakon.
“Namun ada juga pengarah yang terima syarat saya seperti Osman Ali, Dia sangat menghormati keputusan saya. Tetapi, saya rasa lebih baik tunggu sehingga ada tawaran yang bersesuaian,” katanya.
Sekadar info, drama terakhir lakonan Izara ialah Ombak Rindu The Series pada 2019. – HIBGLAM