Isteri sanggup hamil lagi, saya okey- Jamal Abdillah

SEMUA terserah kepada isteri, kalau dia sanggup lagi, saya okey sahaja.”

Demikian kata Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah yang sebelum ini dikecam segelintir pihak  tidak prihatin terhadap kesihatan isteri apabila hamil lagi meski anak ketiga baru berusia dua tahun manakala zuriat keempat setahun.

Pemilik nama penuh Jamal Ubaidillah Mohd. Ali, 65, berkenaan menegaskan anak adalah kurniaan Tuhan selain mengikut keupayaan belahan jiwanya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 28, untuk hamil lagi.

Soal zuriat tidak boleh dirancang kerana Tuhan yang tentukan. Kalau kita rancang macam mana pun tidak jadi juga tanpa izin-Nya.

“Jadi saya enggan layan kecaman malah tak tengok pun. Saya terima rezeki ini kerana Allah, saya panggil ini anugerah.

Bagi saya, semuanya terserah kepada isteri. Jika dia mahu ‘ikat’, silakan dan kalau tak mahu pun saya ikut sahaja,” katanya kepada HibGlam pada sidang akhbar pengumuman artis keempat Konsert Divas & Diamonds 2024, semalam.

Pada masa sama, pelantun lagu Azura itu turut berkongsi keadaan isteri yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) berikutan mengalami alahan terhadap ubat.

Perkembangan terkini, isteri saya sihat. Alhamdulillah, dia sebenarnya mahu ikut pada hari ini tetapi masih perlu berehat.

“Dia alahan bukan sebab hamil. Dia masih lagi belum boleh makan, sudah masuk hari ke-12 asyik muntah-muntah,” ujar bapa kepada tujuh orang cahaya mata itu.

Mengulas lanjut kehidupan bersama anak-anak, Jamal menganggap amanah terbesar dalam hidupnya itu sebagai terapi buat dirinya selepas penat bekerja.

Sekarang saya rasa kehidupan bersama anak sangat menyeronokkan. Ini satu terapi bagi saya kerana tidak pernah rasa letih, bosan atau marah sekalipun.

“Ini adalah hiburan saya dan saya pun bukan jenis keluar rumah dengan anak-anak,” tuturnya.

Sebelum ini, Jamal teruk dihentam selepas memaklumkan bakal menimang zuriat ketujuh dan memaklumkan isterinya dirawat di IJN.

Jamal dan Zai Izzati mendirikan rumah tangga pada 1 April 2017 dan dikurniakan empat anak iaitu Nur Azura Yamani, 5, El Isaac Yamani, 4, Iskandar Rayyan Yamani, 2, dan Rahil Laura Salsabila Yamani, 1.

Penyanyi lagu Gadis Melayu itu memiliki dua lagi putera hasil perkahwinan terdahulunya iaitu Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani, 17. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok