Isteri 6 jam bertarung nyawa, Fizi Ali timang bayi perempuan

Selepas enam jam bertarung nyawa, isteri kepada penyampai radio Fizi Ali, Siti Zulaikha selamat melahirkan cahaya mata perempuan, semalam.

Fizi atau nama lengkapnya Mohd Hafizudin Ali, 35, bersyukur penantian menahan kesakitan berakhir sebaik bayi mereka dapat dilahirkan secara normal.

“Syukur alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang mendoakan kami sekeluarga.

“Yeah, mama (Siti Zulaikha) dah selamat lahirkan ‘baby girl’ (perempuan). Kuat mama tadi, hampir enam jam bertarung untuk bersalin normal.

Jadi sekarang bertambah seorang lagi perempuan dalam hidup daddy (Fizi),” katanya menerusi perkongsian dalam Instagram.

Dalam hantaran sama, Fizi turut memuat naik foto bersama isterinya bersama zuriat mereka yang difahamkan dilahirkan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumur.

Mereka juga bergambar bersama si kecil yang dilahirkan dengan berat 3.36 kilogram (kg) tetapi menutup wajahnya dengan emoji beruang.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada Oktober tahun lalu dan menerusi perkahwinan terdahulu, masing-masing dikurniakan anak perempuan.

Sebelum itu, Fizi pernah berkahwin dengan pelakon, Shakilla Khoriri pada 18 Januari 2018 namun bercerai pada Disember 2021.

Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Ameena Sofea yang kini berusia lima tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok