SEKIAN lama membisu pelakon Zara Zya akhirnya membuka pekung apabila mendedahkan hubungan dengan bapa kandungnya dingin bahkan lelaki terbabit tergamak melemparkan kata nista sehingga terpaksa di sekat dalam laman sosial.
Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 38, berkata, perkara tersebut diluahkan bagi menutup mulut pihak yang mengecamnya tanpa mengetahui kisah sebenar.
Tolong jangan buli dan suka cakap saya bukan-bukan. Saya ada ayah tapi ‘tak ada’. Ayah saya? Sudah berapa banyak akaun palsu dia yang saya sekat. Hina, mengata saya di media sosial. Itu atas talian, secara ‘offline’?
“Semestinya lebih rancak. Pernah wartawan cari saya dan cakap ada seorang lelaki menghubunginya, cerita tentang saya. Dia kenalkan diri sebagai ayah saya,” katanya menerusi aplikasi Thread, semalam
Menurut pelakon drama rantaian Love You Mr. Arrogant itu, semua bukti sudah dikumpul agar boleh dipaparkan jika perlu.
Bukti? Banyak saya simpan. Jadi jangan tanya mana ayah saya, siapa ayah saya. Yang tahu sahaja tahu,” ujarnya.
Tidak memperincikan punca pertelagahan, Zara turut mendedahkan sedang melawan penyakit misteri serta masalah anxiety atau serangan kebimbangan.
Pada masa sama, aktres tersebut mengakui keadaan kesihatan yang terjejas apabila keluar masuk hospital sejak Mei lalu menggandakan tekanan.
Saya berjuang dengan penyakit misteri, saya juga berjuang dengan penyakit yang memerlukan rawatan hospital. Saya ada anxiety, saya ambivert, saya buat bisnes semua tak menjadi, saya tak ada kawan, saya juga nak berkahwin tetapi masih belum sampai waktu.
“Seperti apa pun yang saya ceritakan, tiada siapa yang akan faham apa yang saya tanggung dan lalui. Ketawa tanpa perasaan itu biasa,” katanya.
Bertambah buruk apabila kata Zara hubungan dengan rakan lain juga tidak seakrab dahulu.
Saya ini jujur, tak plastik. Orang tak suka berkawan dengan saya sebab diri ini membosankan. Jangan tanya mana kawan-kawan saya.
“Saya tak ada kawan dan kalau dulu ada yang rapat, sekarang tidak lagi. Semua pun sudah ada haluan sendiri. Makin menyepi,” luahnya lagi.
Susulan itu, ramai pengikut mendoakan kesihatan serta urusan peribadi aktres tersebut dipermudahkan selain diberikan kekuatan berdepan segala dugaan.
“Terus bertabah ye. Semoga dikurniakan kekuatan untuk melawan penyakit dan dugaan mendatang,” kata seorang netizen.
Pada awal bukan lalu Zara ‘berkampung’ selama 18 hari di hospital bagi membuang cyst dan fibroid.
Sebelum itu dia turut menjalani rawatan bagi dua sindrom yang dihidapi iaitu Cervical Facet dan Lumbar Facet Syndrome pada 31 Mei lalu. – HIBGLAM