Hazama tangguh hasrat IVF demi album baharu

TERKADANG sesuatu yang kita rancang dan impikan tidak berjalan seperti diinginkan sehingga mencetuskan rasa kecewa, namun jangan sesekali putus asa berdoa agar dimakbulkan Tuhan. 

Barangkali itulah pegangan penyanyi Hazama dan isteri tercinta, Genervie Kam yang reda apabila perkahwinan mereka yang memasuki usia tahun ketujuh belum dikurniakan zuriat.

Berlapang dada selain ingin terus berusaha, pemilik nama penuh Hazama Ahmad Azmi, 40, itu mengakui pasrah sekiranya dia dan isterinya ditakdirkan tidak mempunyai anak.

Pun begitu, pelantun lagu Sampai Mati itu berkata, dia terpaksa mengetepikan seketika hasrat  mencuba rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) bagi mendapatkan anak kerana menggunakan wang simpanan untuk menghasilkan album keduanya, Pujangga.

“Anak tiada rezeki lagi. Duit yang sepatutnya saya guna untuk IVF, saya dahulukan ke arah tanggungjawab dalam bidang kerja saya iaitu hasilkan album. Harapan saya sangat tinggi terhadap album ini.

Jadi, saya ambil rezeki (IVF) itu ke sini (album). Saya fikir tanggungjawab saya belum selesai kerana dalam industri muzik banyak benda yang belum disempurnakan, jadi saya kena selesaikan satu persatu.

“Saya mahu buktikan saya sebenarnya layak berada dalam bidang ini. Sebagai penyanyi saya nak ada satu ‘statement’ mengenai saya. Orang kata kalau saya ada anak, dia akan bawa nama saya, tapi kalau tinggalkan karya, itu kekal selamanya,” katanya kepada Pose.

Bercerita lanjut mengenai rumah tangganya, penghibur kelahiran Perak itu berkata, dia dan isteri bahagia melayari hidup bersama meski berdua. 

“Orang cakap fasa pertama suami isteri akan diduga dalam tempoh ini. Alhamdulillah, dalam tempoh ini kami semakin mengenali antara satu sama lain dan makin bahagia.

Saya bersyukur dapat isteri memahami, yang ‘guide’ dan banyak mengubah saya jadi insan lebih baik. 

“Ada prosesnya dan dia banyak sabar dengan saya. Jadi, kami sesuailah untuk bersama. Kita makin kenal dan perkahwinan makin matang, makin okey,” ujarnya.

Ditanya sama ada merancang untuk mengambil anak angkat, bekas juara Akademi Fantasia itu pantas menggelengkan kepala. 

Tegasnya, bukan enggan berbuat demikian tetapi berpendapat lebih baik sekiranya  mempunyai waris sendiri yang dapat memperjuangkan legasi muzik mereka di masa hadapan.

Saya masih berpegang pada prinsip tak nak ambil angkat sebab untuk apa semua itu? Saya mahu darah daging sendiri. Saya boleh menyanyi dan isteri main muzik, kalau anak sendiri mesti dia mewarisi bakat kami. 

“Kami ada harapan, kalau boleh saya mahu anak saya masuk dalam bidang seni bukan kerja dalam arena lain. Kalau dari baka kita, sekurang-kurangnya anak akan ikut juga bakat.

“Selain semua itu, saya enggan ambil anak angkat sebab sudah ada empat anak saudara, jadi tiada istilah sunyi. Andai saya meninggal dunia, merekalah uruskan saya,” ujarnya menutup bicara.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok