KERJA gila! Meski rasa geli dan jijik, pelakon Hariz Hamdan tetap optimis menjayakan babak cium kaki aktres senior, Farah Ahmad dalam drama Astro Original, X-Change.
Sedar diri masih hijau dan mentah pengalaman, pemilik nama sebenar Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, 22, itu melihat babak tersebut sebagai satu cabaran.
Bayangkan sebelum penggambaran babak itu keadaan hujan lebat. Keadaan lantai berlumpur dan berpasir dengan habuk dan lalat.
“Pada awalnya agak jijik untuk buat babak itu tapi saya faham ini merupakan tanggungjawab sebagai seorang pelakon untuk menjayakannya,” katanya ketika ditemui di tayangan perdana Astro Original X-Change di ibu kota semalam.
Hariz yang membawakan watak sebagai Qabil memberitahu, babak tersebut tidak membuatkan dia serik untuk berlakon apatah lagi menolak untuk melakukannya.
Babak tersebut sudah ada dalam skrip dan saya tidak mempunyai masalah untuk melakukannya selagi perkara itu tidak bertentangan prinsip saya.
“Babak itu juga menjadi kekuatan dalam drama itu dan perlu dilakukan beberapa kali bagi mendapatkan beberapa sudut kamera,” ujarnya.
Drama X-Change arahan Norhanisham Muhammad (Labu) itu turut dibintangi Datuk Rosyam Nor, Arfie Shah, Joey Leong, Sadiq Jamil, Steve Yap, Marisa Yasmin, Angeline Tan, Alvin Wong dan Shweta Sekhon.
Siri terbaharu Astro Originals X-Change akan bermula siaran pada 12 Julai depan di Astro Premier (saluran 110) dan pukul 9.30 malam di Astro AEC (saluran 306), On Demand, Astro GO dan Sooka. – HIBGLAM