Harith Iskander, Dr. Jezamine cerai talak satu

KEMELUT rumah tangga pelawak Harith Iskander dan bekas isteri, Dr. Jezamine Lim berakhir apabila pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, hari ini.

Harith atau nama penuhnya Harith Iskander Musa, 57, melafazkan cerai talak satu pada pukul 12.05 tengah hari di hadapan Hakim Syarie Siti Noraini Mohd Ali selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Jezamine pada 24 Jun lalu.

Hakim Syarie Wan Mohd. Najib kemudian mensabitkan berlaku perceraian dan memerintahkan Jezamine, 41, menjalani tempoh idah selama tiga bulan dan mendaftarkan perceraian mereka.

Bagaimanapun kedua-dua pihak iaitu plaintif iaitu Jezamine dan defendan (Harith) memilih untuk menjalankan perbicaraan secara tertutup atas alasan enggan berkongsi isu rumah tangga mereka kepada umum.

Menerusi prosiding hari ini, Jezamine dan Harith diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader.

Menurut Akberdin di hadapan hakim, beberapa terma sudah dipersetujui oleh Harith dan Jezamine termasuk nafkah anak manakala proses hak penjagaan anak (hadanah) pulak akan diuruskan pada minggu depan.

“Hari ini, Harith telah melafazkan talak satu di hadapan hakim dan nafkah anak juga telah selesai.

“Kalau nak cakap tentang punca perceraian, memang tiada persefahaman antara plaintif dan defendan.

“Mengenai hadanah pula akan diselesaikan pada minggu depan di Mahkamah Tinggi Syariah,” katanya kepada Kosmo! Online selepas prosiding perceraian.

Terdahulu, pada 8 Julai lalu, Jezamine mengesahkan sudah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur terhadap Harith.

Untuk rekod Harith dan Jezamine, 41, mendirikan rumah tangga pada 12 Jun 2010.

Pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Zander Xayne, 14, Alessandra Jayne, 11, dan Zydane Zayne, yang berusia 9 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok