Hari ini disukai, esok buat silap dibenci – Leona

NAMA puteri kesayangan pelakon Azhar Sulaiman itu jarang terlepas daripada menjadi tumpuan netizen.

Kegemarannya beraksi di hadapan kamera, gaya nakal dan fesyen berani mudah sahaja menjadi magnet menarik setiap mata yang secara sengaja mahupun kebetulan ‘terserempak’ keletahnya dalam susur algoritma akaun media sosial, khususnya TikTok.

Sehingga satu ketika, si pucuk muda berkulit putih gebu itu hampir ‘merabakkan’ pandangan kaum Adam dengan lentok aksi dan gaya seksi.

Impak gaya hidup moden dan darah muda yang mengalir panas dalam tubuh, pemilik nama lengkap Kasih Iris Leona itu harus menelan segala kebencian umum. Dia dianggap sengaja mengundang sensasi.

Kini semuanya agak berubah, terutama sejak konten menyanyinya dalam loghat Kelantan, pucuk muda yang mesra dibahasakan Leona itu terasa seperti semakin disukai ramai. Pada hematnya, netizen tidak lagi memberi fokus terhadap imej seksinya.

Apa lagi yang hendak diharapkan, persepsi dan penerimaan sebegitu daripada khalayak sebenarnya cukup menjadi kegembiraan tidak terperi buat dirinya.

Apabila netizen mula buka mata terhadap keperibadian berbanding imej seksi atau gaya luaran ditonjolkan, tiada kata-kata selain terima kasih terungkap di bibir.

“Saya rasa sekarang orang lebih berikan tumpuan terhadap personaliti saya berbanding pilihan gaya saya. Persepsi orang terhadap saya sudah berubah

“Namun, saya pun sejujurnya sudah lali dengan perkara ini. Hari ini orang boleh suka, esok kalau buat silap, saya akan dibenci.

“Apa pun, saya gembira apabila orang mula tengok saya dalam sisi yang berbeza,” katanya membuka bicara.

Apabila semakin menjadi ‘kesayangan netizen’, pintu rezeki dan bakat anak kelahiran Kuala Lumpur itu semakin terserlah sehingga diintai syarikat produksi Zeel Production bagi membintangi sebuah drama bersiri.

“Saya ada berjumpa dengan Haji Zeel untuk berbincang mengenai tawaran tetapi kami tidak dapat masa sesuai bagi membolehkan saya menjalani penggambaran.

“Pembikinan drama selalunya mengambil masa lebih 20 hari tetapi jadual saya sudah penuh sehingga hujung September depan.

“Dia ada berikan tawaran berlakon menjadi anak kepada ayah saya tetapi saya tak dapat penuhi pelawaan mereka. Mungkin tahun hadapan akan dapat direalisasikan kalau ada masa,” ujarnya.

Menjelang hujung September depan pula, Leona akan kembali ke United Kingdom (UK) bagi meneruskan pengajiannya di University Of Bath selama hampir setahun untuk Ijazah Sarjana Muda Pengurusan.

Tidak sekepala

Selain banyak tawaran kerja harus dilepas, si obses merah jambu itu seboleh-bolehnya mengelak untuk bekerjasama dengan bapanya kerana yakin mereka tidak ‘sekepala’.

“Ramai orang nak tengok saya berlakon dengan ayah saya tetapi rasa macam tidak boleh.

“Kami ada cara berbeza dan sebaik-baiknya, dia hanya kekal sebagai ayah bukan rakan sekerja.

“Namun, kalau pada masa akan datang saya berubah fikiran dan rasa boleh bekerja dengan dia, saya tidak menolak.

“Cuma, saya tidak mahu dikenali sebagai anak Azhar Sulaiman,” jelasnya.

LEONA enggan bekerjasama bersama bapanya, Azhar Sulaiman kerana mempunyai cara kerja yang berbeza.

Berkongsi lanjut, Leona juga masih ragu-ragu untuk meneruskan karier lakonan kerana minat yang lebih ke arah menjadi pengacara atau pelawak.

“Sebenarnya, saya sendiri tidak pasti sama ada mahu terjun ke dunia lakonan atau tidak.
Ikutkan saya lebih berminat jadi hos atau pelawak.

“Saya dapat banyak tawaran berlakon lebih dari 10 tetapi satu pun saya tak terima. Kalau nak berlakon, saya kena pastikan serius dalam arena ini.

“Tambahan pula saya adalah anak Azhar Sulaiman pasti orang meletakkan jangkaan tinggi buat saya,” tuturnya.

Jual kaftan

Dihujani rezeki sepanjang cuti semester, Leona secara tidak langsung bakal bergelar ahli perniagaan.

Idea anak bongsu Azhar dan Chempaka Emalin itu tercetus sejak menggayakan kaftan sehingga ramai mencadangkannya mengeluarkan jenama sendiri.

“Buat masa sekarang saya sangat sibuk fokus dengan apa yang saya lakukan seperti menjadi pempengaruh dan penuhi undangan fotografi.

“Dalam masa sama, saya juga sudah mulakan perniagaan menjual kaftan dan prosesnya sudah hampir siap.

“Saya lebih suka buat kerja yang membuatkan otak saya bekerja. Sebagai pempengaruh pun saya perlu berfikir tetapi dalam perniagaan tanggungjawab lebih besar,” tutupnya.

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok