‘Hanya tahu Ayden jatuh tandas dari media sosial’

PENYANYI dan pelakon sensasi, Aliff Aziz enggan memberi sebarang kenyataan berkaitan insiden anak sulungnya, Ayden Adrean yang dilaporkan jatuh di tandas sekolah baru-baru ini.

Aliff atau nama sebenarnya Muhammad Aliff Aziz, 33, bagaimanapun mengakui dia hanya mengetahui  insiden yang menimpa anaknya itu menerusi media sosial.

“Sebenarnya saya tahu pasal Ayden jatuh di sekolah tempoh hari menerusi media sosial.

“Kalau boleh saya tak mahu sentuh mengenai anak-anak sebab saya datang ke sini (mahkamah) untuk kes saya.

“Saya tak mahu bercakap mengenai perkara lain tetapi untuk menjawab soalan itu, saya memang dapat tahu Ayden jatuh sekolah itu melalui media sosial, bukan daripada sesiapa,” katanya kepada HibGlam di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, selepas selesai prosiding bacaan pertuduhan kes khalwatnya yang turut membabitkan pelakon, Ruhainies semalam.

Dalam pada itu, penyanyi kelahiran Singapura itu turut menegaskan, dia enggan berkongsi lebih mengenai hal peribadi kerana risau kenyataannya akan dimanipulasi atau disalah anggap oleh pihak lain.

“Saya beri kerjasama untuk komen kes yang berlangsung hari ini (semalam). Sebab nanti kalau kita tercakap benda yang boleh dimanipulasikan atau banyak benda yang tidak perlu akan dibuka balik buat masa sekarang.

“Jadi, saya rasa jangan kita kaitkan benda lain. Kita selesaikan satu persatu, contoh untuk kes macam ini (khalwat), kita cerita pasal ini sahaja,” katanya lagi.

Terdahulu, pada 24 Jun lalu, bekas isterinya, Bella Astillah berkongsi detik cemas apabila pihak sekolah memaklumkan Ayden terjatuh di tandas.

Bella berkata kemungkinan Ayden tergelincir disebabkan dalam keadaan kelam kabut dan tidak dapat menahan untuk membuang air kecil.

Selepas melakukan pemeriksaan di sebuah klinik, Ayden disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan berada dalam keadaan baik.

Semalam, pelantun lagu Sayang Sayang itu dan Ruhainies mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tangkap khalwat pada 9 Mac lalu di sebuah kondominium di ibu negara.

Mahkamah menetapkan tarikh 17 Oktober depan untuk perbicaraan seterusnya.

Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok