Hampir bersara sebab tak relevan, Rossa luncur filem dokumentari

BUKAN biasa-biasa. Itu yang terlintas dalam fikiran usai tayangan perdana filem dokumentari diva Indonesia, Datuk Seri Rossa berjudul All Access To Rossa 25 Shining Years.

Acara karpet merahnya di luar panggung Plaza Indonesia XXI sahaja umpama acara filem blockbuster yang backdrop termasuk papan iklan karyanya ada di mana-mana di kota Jakarta.

Antara tokoh penting seni seberang yang turut hadir pada malam tayangan perdana termasuklah Krisdayanti, Afgan, Cakra Khan, Nia Ramadhani, Rizky Febian dan Mahalini.

All Access To Rossa 25 Shining Years merungkai liku pahit manis perjalanan seni Rossa atau nama sebenarnya, Sri Rossa Roslaina Handiyani, 46, sedari awal penglibatan tahun 1996 menerusi debut Nada-Nada Cinta.

Antara pendedahan pernah didedahkan Rossa termasuklah pernah terlintas ingin bersara dari dunia muzik kerana berasa sudah tidak revelan sekitar 2015.

Menurut Rossa, dia juga pernah berniat menjual aset miliknya dan ingin membawa diri ke luar negara untuk membina kehidupan baharu.

Ketika itu sudah tidak tahu mahu hasilkan muzik yang bagaimana lagi. Saya rasa seperti sudah kehabisan idea. Ada juga timbul rasa sudah tidak relevan dengan kemajuan muzik semasa.

“Banyak juga lagu namun saya tidak suka keluarkan lagu yang seakan-akan berulang-ulang.

Sebab itu saya rasa macam nak berhenti menyanyi dan jual aset-aset yang saya miliki dan mahu berpindah ke luar negara,” katanya kepada media pada majlis gala tayangan filem All Access To Rossa 25 Shining Years, semalam.

Pelantun lagu Ayat Ayat Cinta itu berkata, dia kurang yakin dengan diri sendiri untuk bersaing dengan ramai pendatang baharu.

“Saya juga lihat semakin ramai artis dan penyanyi yang meningkat naik ketika itu, mereka semua bagus.

Saya tertanya-tanya adakah mampu untuk bersaing dengan pendatang baharu atau tidak.

“Mungkin saya kurang percaya pada diri ketika itu dan fikir mahu jadi karyawan sahaja,” katanya.

Sekadar info, filem dokumentari All Access To Rossa 25 Shining Years bakal ditayangkan di pawagam seluruh Indonesia bermula 1 Ogos ini.

Filem yang mengisahkan tentang perjalanan karier seni Rossa sebagai diva terunggul Indonesia itu juga bakal menerjah pawagam Malaysia pada September depan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok