DIINSPIRASIKAN daripada kisah benar pemenang pingat emas pertama sukan badminton paralimpik dunia, Cheah Liek Hou, filem berjudul Gold berjaya meninggalkan emosi mendalam kepada penonton.
Gold mengisahkan perjalanan hidup Liek Hou yang ingin menempa nama dalam arena sukan kebangsaan tetapi terhalang akibat penyakit saraf Erb’s Palsy atau kelumpuhan lengan disebabkan kecederaan saraf utama khususnya pada bahagian atas badan.
Bagaimanapun, kekurangan fizikal bukan kekangan untuk Liek Hou bergelar jaguh paralimpik badminton sehingga memenangi banyak pertandingan berprestij.
Pengarahnya, Adrian Teh berkata, filem itu mengangkat kisah benar membabitkan Liek Hou lakonan Jack Tan dan jurulatihnya, Datuk Rashid Sidek (Farid Kamil) iaitu lagenda yang pernah menggegarkan dunia badminton dunia.
“Cerita ini 80 peratus adalah kisah benar yang betul-betul berlaku. Saya menghabiskan banyak masa untuk mengkaji.
Filem ini juga bukan tertumpu kepada Liek Hou semata-mata tetapi banyak juga mengenai Rashid Sidek. Boleh dikatakan keseluruhan proses mengambil masa panjang.
“Kami turut memberikan Farid dan Jack masa untuk tingkatkan stamina selain menjaga pengambilan nutrisi supaya dapat menjayakan watak dengan baik,” katanya.
Berkongsi lanjut, pemilik nama lengkap Adrian Teh Kean Kok, 40, berkata, idea pembikinan naskhah tersebut tercetus selepas menyaksikan Liek Hou meraih pingat emas Paralimpik Tokyo 2020 bersama jurulatihnya dalam sebuah video klip.
Saya tergerak bikin filem ini selepas lihat Liek Hou mengalungkan pingat emas kepada Rashid. Saya berhasrat teruskan cerita ini sebab mahu pupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Sudahlah dengan fahaman perkauman. Liek Hou dan Rashid contoh terbaik untuk beritahu satu Malaysia bahawa kita boleh bawa kemenangan kalau letak tepi isu rasisme.
Sinergi antara jurulatih dan pemain saya rasa sangat bagus sehingga terfikir adalah berbaloi masukkan dua lagenda dalam satu cerita supaya penonton lebih terhibur,” ujarnya lagi.
Meski sedar bukan mudah filem bergenre sukan memancing perhatian penonton, sutradara filem Paskal itu tetap nekad meneruskan hasrat menghasilkan kisah atlet kelahiran Kuala Lumpur itu kerana mahu beliau lebih dikenali.
“Memang tidak dinafikan, genre sukan susah untuk dijual di Malaysia. Namun, selepas berbincang dengan penerbit lain kami rasa berbaloi untuk teruskan cerita ini.
Liek Hou pula bukan perwira tetapi dia pemain badminton paralimpik dan mungkin tidak popular macam sukan badminton biasa,” jelasnya.
Selain menunjukkan semangat juang atlet, filem Gold turut mengetengahkan realiti ahli sukan yang perlu berhadapan pelbagai isu terutama kebajikan jika diabaikan pihak bertanggungjawab.
Tegas Adrian, sekiranya ada yang melihat naskhah itu sebagai kritikan, dia tetap dengan pendirian mahu menyampaikan senario sebenar yang ditanggung atlet negara.
Saya tidak rasa itu satu kritikan tetapi sebagai teguran dan semua yang diketengahkan adalah fakta. Saya cuma ceritakan perkara yang saya tahu selepas buat kajian dengan beberapa atlet.
Kalau segelintir pihak ini ada masalah (pendapatan) buatlah sesuatu.
“Sebagai pembikin filem, saya tidak fitnah atau buat cerita palsu sebaliknya ini kisah benar. Ini juga suara hati mereka (atlet).
Saya ada berjumpa Adelle Ng iaitu bekas pemain badminton kebangsaan, dia pun cakap terkesan menonton filem ini kerana apa yang disampaikan adalah realiti,” katanya.
Menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang bakal berlangsung pada 26 Julai ini, diharapkan Gold dapat menyuntik semangat kontinjen negara melakukan kejutan dengan membawa pulang pingat emas.
Filem terbitan Astro Shaw dan Act 2 Pictures yang dibintangi Farid Kamil, Jack Tan, Wan Raja, Fabian Loo, Josiah Hogan, Daniel Cheah, Yasmin Hani, Lynn Lim serta Meeki Ng tersebut sudah menemui penonton sejak 11 Julai lalu. – HIBGLAM