Gimme The Mic Malaysia cari wakil ke pentas antarabangsa

MENCARI enam bakat baharu dalam kalangan pencipta kandungan bagi mewakili negara, program Gimme The Mic Malaysia menyaksikan 30 peserta bersaing menonjolkan vokal mereka bermula semalam (21 Julai 2024).

Pertandingan anjuran bersama TikTok LIVE dan Astro itu membuka peluang kepada pencipta kandungan muzik dalam media sosial termasuk penyanyi baharu menyerlahkan potensi diri, seterusnya berpeluang bertanding di peringkat antarabangsa.

Pengurus Serantau TikTok LIVE, Melissa Yuen berkata, program Gimme The Mic Malaysia menyediakan platform untuk anak tempatan mempamerkan bakat dan berkongsi karya muzik mereka.

“Program ini memberi peserta platform untuk memulakan kerjaya nyanyian di Malaysia dan membuka ruang melebarkan langkah di pentas antarabangsa.

“Gimme The Mic Malaysia adalah landasan yang signifikan bagi penggiat seni nyanyian dan muzik menyerlahkan kebolehan mereka,” katanya pada majlis pelancaran program tersebut di ibu negara, baru-baru ini.

Sepanjang pertandingan berlangsung, 30 peserta perlu mempamerkan kehebatan vokal masing-masing bagi meraih kedudukan teratas.

Juri akan menilai setiap persembahan mengikut kriteria ditetapkan sebelum memilih enam peserta yang layak berada pada kedudukan teratas dinamakan The Six.

The Six menjadi salah satu elemen yang diperkenalkan dalam program Gimme The Mic Malaysia di mana enam kerusi khas itu akan diumumkan setiap minggu.

Kedudukan ini sentiasa berubah mengikut markah diberikan juri profesional iaitu Yuna, Ajai, Hael Husaini dan penyanyi Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL).

Pada akhir konsert, enam peserta teratas yang menerima gabungan markah juri profesional dan undian tertinggi di TikTok LIVE akan menghuni kerusi The Six.

Mereka akan terselamat daripada penyingkiran dan peserta lain berdepan pusingan yang menyaksikan calon dengan markah juri serta undian awam terendah risiko terkeluar daripada cabaran.

Bermakna, peserta dengan gabungan markah serta jumlah undian yang paling rendah bakal disingkirkan.

Juara Astro Gimme The Mic Malaysia akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 daripada Astro, AS$2,000 atau RM9,300 (TikTok) selain projek album single tajaan Astro dan Rocketfuel.

Gimme The Mic Malaysia mula bersiaran selama lapan minggu pada setiap Ahad di saluran Astro Ria bermula semalam.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok