Fitnah! Saya tak penah kelaskan Aaisyah T20 – Che Ta

PELAKON dan usahawan jelita Rozita Che Wan meminta orang ramai membuat aduan terhadap satu akaun TikTok yang didakwa menyebarkan cerita palsu berkaitan anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana.

Anak jati Kedah yang mesra disapa Che Ta itu berkata, tuduhan yang menyatakan dia meletakkan keluarga mahupun anaknya itu dalam kategori T20 (golongan kaya) adalah rekaan pihak tertentu.

Nak minta tolong semua untuk membuat aduan mengenai pengguna akaun ini.

“Individu ini telah mereka cerita fasal anak saya. Minta tolong semua.

Kami tak pernah bezakan pun atau memberi pengkelasan diri saya ini berada dalam kategori B40 atau T20. Saya tak ambil peduli fasal ini semua,” tulisnya dalam aplikasi Threads.

Menerusi foto dikongsikan, Che Ta terkilan apabila pemilik akaun terbabit menggunakan anaknya bersama kenyataan yang kononnya pernah dikeluarkan di media sebelum ini.

Enggan terus mengundang salah faham, isteri kepada pelakon Zain Zaidin itu berharap pengikut media sosialnya sama-sama melaporkan akaun terbabit kepada pengendali aplikasi berkenaan.

Terdahulu, dakwaan serupa pernah disebarkan dalam laman sosial tahun lalu sehingga Che Ta memberi amaran agar jangan lagi memutar belit kenyataannya.

Ketika itu, Aaisyah, 11, dilabel sebagai anak golongan atasan kononnya daripada kenyataan Che Ta sendiri sehingga mencetuskan kecaman ramai yang tidak tahu perkara sebenar. –  HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok