Pelakon dan penyanyi, Fikry Kiki menafikan dakwaan sebilangan pihak kononnya dirinya dibela wanita berstatus ‘sugar mummy‘.
Kata Fikry, 20, bisnes kopi yang diusahakannya dengan modal RM600,000 adalah hasil titik peluh sendiri sejak kecil.
Akui bakat digilap menerusi program realiti Ceria Popstar itu, fitnah bertebaran mencalarkan kredibilitinya yang baru bertapak dalam bisnes kopi cecair tanpa bancuh di bawah jenama Liquffe.
Saya mula menyanyi sejak umur lima tahun selain memasuki banyak pertandingan termasuk Ceria Popstar dan Bintang Kecil RTM, tetapi tak sangka berdepan fitnah sebegini ketika berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.
“Bisnes Liquffe ini saya jalankan dengan rakan niaga iaitu Bulan yang juga ibu lima anak membabitkan modal bersama berjumlah RM500,000, manakala RM100,000 lain dikeluarkan seorang lagi rakan kongsi,” katanya.
Jelasnya, walaupun wajahnya jarang terpampang di majlis-majlis komersil, rezekinya dalam bidang seni tetap ‘lebat’ dengan cara tersendiri.
“Saya kerap diundang menyanyi dan mengacarakan majlis koporat serta buat bisnes sampingan kecil-kecilan.
Semuanya hasil simpanan, bukan jadi ‘anak ikan’ atau dibela sesiapa sebab saya masih ingat dosa pahala. Minta dijauhkan kerja kotor demi cepat kaya,” katanya kepada HibGlam.
Memahami dunia bisnes menuntut kesungguhan seperti arena hiburan, pelakon yang popular menerusi drama Tidak Ada Sepertimu itu tidak kisah turun padang mempromosikan produk.
Katanya, jika ada dalam kalangan netizen yang mengenalinya kerap melihat dia dan Bulan bersama-sama, itu hanya atas faktor tuntutan kerja.
Produk kami masih baharu dalam pasaran selepas hampir setengah tahun melalui proses R&D (penyelidikan dan pembangun), jadi dengan modal tinggi kami kena bersungguh-sungguh mempromosikan Liquffe.
“Bulan hanya saya anggap sebagai mentor dan kakak, bahkan saya juga akrab dengan suami rakan kongsi saya ini yang turut menjadi tulang belakang Liquffe.
“Saya sudah jelaskan kepadanya apabila menerima DM (mesej) menerusi media sosial yang menfitnah saya dan Bulan mempunyai hubungan, syukur suaminya faham,” katanya selepas majlis pelancaran Liquffe, di Semenyih, Selangor, baru-baru ini.
Menyentuh mengenai kerjaya seni yang masih belum meletakkan namanya pada kedudukan selesa, penggiat seni asal Melaka enggan berhenti, malah masih aktif memenuhi tawaran lakonan biarpun sekadar watak sampingan.
Saya tetap ingin berlakon atau penuhi undangan mengadakan persembahan pentas dan mengacarakan majlis. Ini juga punca pendapatan membantu keluarga selepas kehilangan ayah dua tahun lalu,” ujar anak bongsu daripada dua bersaudara itu.
Sementara itu, Bulan atau nama sebenarnya Mabel Ira Bulan, 27, yang juga pempengaruh media sosial mengakui terkilan dengan tuduhan dilemparkan terhadap Fikry.
Namun dia enggan ambil pusing dan teguh dengan tekad menjana pendapatan, sekali gus membuka peluang perniagaan kepada orang ramai untuk menjadi stokis mahupun ejen.
Masyarakat atau netizen patut sokong anak muda seperti kami yang berusaha memajukan diri, bukan membuat tuduhan melulu seolah-olah ingin menabur pasir dalam periuk nasi kami,” katanya. – HIBGLAM