Festival Good Vibes 2024 dibatalkan

FESTIVAL Good Vibes 2024 (FGV) pada 20 dan 21 Julai ini dibatalkan bagi menghormati pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Penganjurnya, Future Sound Asia (FSA) membuat keputusan itu selepas Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) meminda tarikh penganjuran persembahan mega itu ke hari lain.

Disebabkan festival ini menampilkan ramai artis antarabangsa yang terbabit dengan pelbagai siri jelajah lain, menukar jadual festival adalah agak mustahil.

“Oleh itu FSA memutuskan untuk membatalkan acara ini,” kata jurucakap syarikat tersebut menerusi kenyataan dalam Instagram.

Menurut hantaran dalam laman web rasmi penganjur, pembeli tiket FGV akan menerima semula wang mereka bersandarkan kaedah ketika pembelian.

Semua pembeli tiket secara automatik akan menerima pemulangan semula wang mengikut kaedah pembayaran dilakukan ketika membelinya,” ujarnya.

Terdahulu, istiadat pertabalan Sultan Ibrahim bakal berlangsung di Balairung Seri Istana Negara pada tarikh sama iaitu 20 Julai 2024.

Sebarang persembahan berskala besar melibatkan artis antarabangsa tidak dibenarkan berlangsung pada tarikh tersebut membuatkan pihak berkuasa mengarahkan penganjur mengelolakan FGV ke tarikh lain.

Mengikut perancangan asal, ramai bintang antarabangsa dan penyanyi diundang bagi beraksi di tapak parkir bas Genting Highlands Premium Outlet.

Antara bintang yang akan diterbangkan ke negara ini ialah Joji, Russ, J Balvin, Henry Moodie, Tiger JK dan Yoon Mi Raae.

Sementara itu, topik pembatalan festival ini hangat diperkatakan dalam media sosial sehingga menjadi trending di platform X.

Ada dalam kalangan netizen berseloroh meminta penganjur mandi bunga kerana bukan kali pertama festival itu dibatalkan.

FGV tahun lalu hanya berlangsung separuh jalan apabila kerajaan membatalkan acara itu serta merta selepas band pop rock Inggeris, The 1975 melakukan aksi biadab bercium sesama jenis, menghina undang-undang Malaysia dan membawa botol arak ketika persembahan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok