Feby Putri idam berduet dengan Noh Salleh, Siti Nurhaliza

LAGU dan lirik yang hebat, itu faktor utama penyanyi Indonesia, Feby Putri melahirkan hasrat untuk menjalin kerjasama dengan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh satu hari nanti.

Feby atau nama penuhnya Feby Putri Nilam Cahyani, 24, berkata, dia tidak begitu mengenali Noh secara peribadi namun hasil kerja penyanyi itu berjaya membuatkannya berminat untuk berkolaborasi untuk mana-mana single kelak.

“Saya ada meminati seorang pemuzik Malaysia iaitu Noh Salleh.

Memang saya teringin sangat untuk berkolaborasi dengan dia kerana karya muzik yang dihasilkan. Lagu-lagu Noh yang buatkan saya meminatinya,” katanya kepada HibGlam yang ditemui sempena konsert Feby Putri Vol.2 ‘Detik Menit Jam’ di Zepp Kuala Lumpur (KL), semalam.

Selain Noh, pelantun lagu Halu itu turut melahirkan impian untuk bergabung suara dengan penyanyi popular tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza satu hari nanti.

Katanya, rasa minat itu mula tumbuh kerana membesar dengan lagu-lagu Siti sejak kecil.

“Kalau diminta memilih penyanyi lain, saya mempunyai impian untuk bekerjasama dengan Siti Nurhaliza.

Saya membesar dengan lagu-lagunya tambahan pula arwah ibu dan kakak saya sangat meminati Siti seperti Purnama Merindu,” katanya lagi.

Semalam, sekitar 2,400 membanjiri Zepp KL bagi konsert kedua penyanyi berasal Makassar, Indonesia itu di Kuala Lumpur.

Acara yang berlangsung selama dua jam itu menyaksikan Feby menyampaikan sebanyak 16 buah lagu termasuk Usik, Kembali Pulang, Liar Angin dan Runtuh. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok