RUMAH tangga tangga didakwa bergolak, pelakon Fattah Amin tampil menyangkal spekulasi liar yang bertebaran malah menegaskan sangat menyayangi isterinya, Fazura yang dinikahi kira-kira tujuh tahun lalu.
Kata Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 33, semua sikap positif dalam diri belahan jiwanya itu menjadi inspirasi buat dirinya untuk terus melakukan kebaikan.
Sudah tujuh tahun dengan dia (Fazura), saya memang sangat menyayanginya. Dia suka hargai suami dan orang sekelilingnya.
“Paling saya terharu adalah sikap pemurah isteri sehingga saya sangat terinspirasi dengan sikap tidak berkiranya.
Dia juga sangat ikhlas melakukan segala benda tanpa mengharapkan apa-apa balasan,” katanya dalam sebuah temu bual bersama media.
Menurut aktor itu lagi, sepatutnya sebagai isteri Fazura layak berada di rumah untuk menjaga keluarga tetapi sanggup membanting tulang demi kelangsungan hidup mereka.
“Sebagai suami, saya nampak banyak pengorbanan dia sebagai isteri dalam keluarga. Kalau ikutkan dia boleh sahaja duduk di rumah manakala saya bekerja.
Namun, dia sama-sama berniaga sekali gus membesarkan anak kami Fatimah. Itu pengorbanan seorang isteri yang buat saya lagi cintakannya sampai sekarang,” ujarnya.
Dalam masa sama, pelakon drama Playboy Itu Suami Aku berkenaan turut mendefinisikan Fazura sebagai wanita satu dalam sejuta, selain berasa sangat bertuah dikurniakan teman hidup seindah itu.
Kalau makan pun dia tidak pernah biarkan saya sendukkan nasi atau tuang air sendiri. Itu yang buatkan saya rasa dia ‘one in a million’ (satu dalam sejuta).
“Saya sangat bertuah memiliki Fazura sebagai isteri. Dia buat sesuatu lebih daripada apa sepatutnya. Itu yang buatkan saya hargai,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, heboh dalam media sosial kononnya hubungan Fattah dan Fazura berantakan.
Alasannya kerana mereka dikatakan sudah tidak lagi saling meninggalkan komen atau tanda suka (likes) dalam media sosial masing-masing.
Tidak terhenti di situ, kisah rumah tangga pasangan popular itu turut dibincangkan dalam sebuah laman sembang malah netizen memberi pelbagai pandangan mengenai hal dalaman pasangan terbabit.
Bagaimanapun, minggu lalu Fazura tampil menangkis dakwaan tersebut dan menyatakan mereka sengaja berbuat demikian demi menjalani hidup lebih privasi.
Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Fatima Aisya yang kini berusia 4 tahun. – HIBGLAM