BUKAN mudah untuk bergelar seorang selebriti, selain berbekalkan bakat, penampilan dari hujung rambut sehingga hujung kaki juga perlu dijaga.
Perkara sama juga berlaku dalam dunia hiburan Korea Selatan, hampir mustahil untuk melihat pelakon mahupun idola yang tidak bertubuh langsing mahupun kurus.
Pun begitu, berbeza dengan lelaki. Memandangkan sifat maskulin diambil kira menerusi bentuk fizikal yang kekar dan fit supaya kelihatan gagah di hadapan pemuja bakat mereka, ramai selebriti berusaha keras bersenam dan berkampung di gim untuk memiliki badan yang ‘sado’.
Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa artis Korea Selatan yang berjaya melakukan transformasi dramatik pada bentuk badan dan fizikal mereka.
Park Seo-joon
Siapa tidak kenal dengan susuk tampan bernama Park Seo-jeon. Wajahnya sering terpampang dalam deretan drama fenomena sebagai watak utama.
Pada awal kemunculan, aktor berusia 35 tahun itu mengakui sering berdepan kecaman akibat penampilannya yang kelihatan sangat kurus dan nampak lemah.
Disebabkan itu juga, dia jarang mendapat watak utama kerana dianggap kurang sesuai dengannya memandangkan peranan ‘hero’ perlu tampak gagah dan maskulin.
Enggan membiarkan badan kurus terus menjadi stigma, pelakon drama Fight For My Way itu berhempas pulas memperbaiki penampilan diri dan berterusan melakukan senaman di gim.
Hasilnya, bentuk badannya mula berubah dan kelihatan lebih jantan daripada sebelumnya sekali gus menarik ramai sutradara untuk menawarkannya pelbagai watak utama.
Park Bo-gum
Berdepan masalah sama seperti Park Seo-jeon, pelakon Park Bo-gum mengakui pernah berasa rendah diri dengan bentuk badannya yang terlalu kurus.
Pelbagai usaha telah dilakukan termasuk makan tanpa henti, namun kerja kerasnya menemui kegagalan apabila berat badannya tidak berganjak walaupun sekilogram.
Enggan ditakuk sama, aktor berusia 31 tahun itu bertemu pakar pemakanan dan pelatih peribadi untuk memastikan segala pemakanan serta senaman yang dilakukan adalah dengan cara betul.
Usaha kali ini tidak mengkhianati hasil, penampilan pelakon drama Wonderland itu berubah secara drastik malah tampil lebih maskulin.
Perubahan itu turut dipuji pemuja bakatnya yang melihat penampilan ketara berbeza dalam drama berjudul Reply 1988.
Lee Seung-gi
Peminat pelakon Lee Seung-gi yang popular dengan rangkaian drama popular seperti My Girlfriend Is A Gumiho, The King 2 Hearts dan Gu Family Book pasti tahu bahawa bentuk badan aktor itu sangat kurus.
Mujurlah bakatnya mengatasi semua itu tetapi lelaki berusia 37 tahun itu beberapa kali mengungkapkan rasa tidak selesa apabila perlu menjayakan babak yang menuntutnya untuk tidak berbaju.
Enggan lagi dihantu perasaan rendah diri dan tidak yakin di hadapan kamera, Seung-gi mengambil keputusan untuk benar-benar melakukan perubahan pada bentuk badannya.
Bertahun ‘bertapa’ di gim secara konsisten, pelakon kacak itu berjaya memukau khalayak ketika menjayakan babak tidak berbaju dalam siri thriller Vagabond.
Badannya kini jauh berbeza, kelihatan lebih berotot malah bahunya juga lebih lebar.
Jung Yong-hwa
Berbeza alur cerita dengan selebriti lain, penampilan penyanyi Jung Yong-hwa berubah secara drastik selepas menyertai latihan ketenteraan wajib.
Idola berusia 35 tahun itu pada asalnya sangat kurus, namun selepas menamatkan latihan tentera, perubahan ketara apabila badannya sangat berotot dan tampak maskulin.
Menurutnya, segala proses untuk mendapatkan bentuk badan idamannya itu tidak mudah malah melibatkan mental yang kuat.
“Benar orang kata untuk kelihatan menawan itu bukan mudah, sakit dan perit. Banyak proses perlu dilalui dan itu bukan sahaja menuntut badan tetapi mental yang kuat.
“Tapi percayalah semua itu akan terbayar selepas kita melihat hasilnya nanti,” ujarnya menerusi satu rancangan temu bual. – HIBGLAM