LEBIH 20 tahun mengabdikan diri sebagai sebuah kugiran, D’Masiv terus membuktikan keampuhan jenama muzik mereka menerusi konsert berjudul Amazing Concert D’ Masiv bertempat di Arena Mega Star, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengulangi kejayaan konsert di Zepp Kuala Lumpur Februari lalu, kumpulan asal seberang yang dianggotai Rian, Kiki, Rai, Rama, Why dan Eghay itu ternyata kekal berbisa dengan dendangan lagu bernuansa galau atau melankolik mereka.
Pada malam berkenaan, D’Masiv juga sempat mendendangkan lagu baharu mereka secara eksklusif berjudul Sampai Mati Kan Ku Kejar buat para peminat di Malaysia.
Rian atau nama sebenarnya, Rian Ekky Pradipta berkata, Sampai Mati Kan Ku Kejar mengisahkan individu yang memperjuangkan cinta terhadap orang dikasihinya.
“Lagu ini belum pernah dibawakan di Jakarta dan pertama kalinya dipersembahkan di Malaysia.
“Saya berharap semua peminat dapat menerima beberapa lagu daripada album kelapan kami. Sudah 21 tahun kami bertapak, tidak sangka sokongan semua tidak pernah berbelah bagi.
“Tempoh itu bukanlah jangka masa yang singkat dan kami bersyukur masih dapat memberikan yang terbaik buat peminat yang juga tulang belakang kami,” ujarnya.
Sudah tentu, D’Masiv menyanyikan lagu malar segar mereka termasuklah Cinta Sampai Di Sini, Natural, Semakin, Berpura-pura, Merindukanmu, Apa Salahku, Rindu yang Tak Pernah Jelas dan Diam Tanpa Kata.
Berjaya membangkitkan emosi dan rasa galau menerusi lagu-lagu popular mereka, D’Masiv turut menyanyikan lagu Rindu Setengah Mati, Sudahi Perih Ini, Diantara Kalian dan Cinta Ini Membunuhku.
Menurut Rian, melakukan persembahan di Malaysia juga cukup bermakna bagi mereka kerana mendapat sambutan hangat peminat termasuk yang datang dari Singapura dan Brunei.
“Malaysia ibarat rumah kedua kami. Apabila berada di negara ini, rasa seperti berada di Indonesia juga kerana para peminat di sini melayani kami sangat baik.
“Mereka masih ingat lagu-lagu kami dari awal pembabitan sampailah sekarang,” ujar Rian lagi.
Amazing Concert D’Masiv dibawakan oleh JPP Entertainment dari Indonesia dengan kerjasama Creative Page (Malaysia) itu turut menampilkan Mario G Klau yang turut popular dengan seleksi lagu galau ciptaannya.
Mario yang juga komposer menyanyikan lagu-lagu ciptaannya seperti Pesan Terakhir, Tak Ingin Usai, Tak Dianggap dan Tak Segampang Itu.
Bijak berkomunikasi dan mendekati penonton, Mario turut menghadiahkan jaket yang dipakainya kepada seorang peminat yang dapat menyanyikan bait lagunya dengan tepat.
Selain itu, pentas konsert yang berdurasi lebih tiga jam itu turut menampilkan Sarah Suhairi dan Alfie Zumi membuka
pentas acara berkenaan.
Cuma buat penulis secara peribadi, sistem bunyi di Arena Mega Star masih banyak ruang perlu diperbaiki. Kadang-kadang terlihat sama ada D’Masiv, Mario serta Sarah dan Alfie sendiri ‘struggle’ untuk mencari rentak melunaskan persembahan masing-masing.
Apapun, terima kasih buat D’Masiv kerana sekali lagi berkesudian berkunjung ke Malaysia dan kali ini bersama Mario yang barangkali ramai tidak mengetahui siapakah gerangan beliau sedangkan lagu-lagu hit dendangan penyanyi lain adalah ciptaan beliau. -HIBGLAM