Diana Danielle rancang masuk rumah warga emas bila tua 

ENGGAN menyusahkan anak-anak mahupun bergantung hidup kepada orang lain, pelakon Diana Danielle merancang untuk menetap di pusat jagaan warga emas apabila sudah lanjut usia kelak.

Ujar Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Beeson, 33, dia tidak mahu jika keuzurannya suatu masa nanti bakal mencetuskan kebimbangan kepada anak-anaknya.

“Andai kata saya sakit, saya tak nak susahkan anak-anak saya. Saya pun tak mahu mereka risaukan saya.

“Saya ada jumpa rumah penjagaan orang tua yang bagus, jadi saya tak keseorangan apabila tua.

“Dari dulu saya tak suka bergantung kepada sesiapa, sebab itu saya ada perancangan tersebut,” luahnya menerusi satu rancangan audio siar.

Mahu hidup tenang dengan rakan seusia, pelakon filem Imaginur itu percaya kehidupan di pusat jagaan lebih memberikan ketenangan tanpa sebarang masalah.

“Saya tak nak peningkan kepala saya dengar masalah anak-anak.

“Saya nak hidup dengan orang-orang yang sebaya dengan saya, boleh karaoke, main catur atau berborak dengan mereka,” ujarnya.

Pun begitu, semua itu hanya perancangan selain masih dalam pertimbangan mengikut situasi memandangkan anak sulungnya, Muhammad, 11, sudah berjanji mahu menjaganya.

“Saya pernah berborak secara serius dengan Muhammad, dan beritahu yang saya nak tinggal dengan dia apabila tua nanti.

“Dia janji yang dia akan menjaga saya dari segi kewangan dan sebagainya. Kami dah macam kawan baik dan boleh tinggal bersama-sama.

“Saya lihat ada sesetengah ibu dan anak tiada hubungan yang baik membuatkan mereka susah tinggal bersama,” jelasnya.

Selain Muhammad, hasil perkahwinan bersama pelakon Farid Kamil pada 2012 turut dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Aurora, 9, . – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok