Despicable Me 4 kurang menjadi, Minions ‘overshadow’

PARA peminat sinema mula ‘berbanana’ apabila filem animasi edaran terbaharu Universal Pictures, Despicable Me 4 ditayangkan di pawagam seluruh negara hari ini (4 Julai 2024).

Berpeluang menonton naskhah fenomena arahan sutradara Chris Renaud itu sehari sebelum secara rasmi ditayangkan di GSC Midvalley Kuala Lumpur, penulis tidak mempunyai respons negatif yang banyak tentang karya tersebut.

Despicable Me 4 menyaksikan mantan supervillain Felonious Gru (Steve Carell) bersama isterinya, Lucy Wilde (Kristen Wiig) yang menggunakan identiti baharu berdepan villain bernama Maxime Le Mal (Will Ferrell) yang menyimpan dendam terhadapnya.

GRU divisualkan sebagai sudah ‘bertaubat’ dan tidak lagi melakukan kerja jahat termasuk rompakan.

Tidak dilupakan gelagat ‘terlalu’ banyak minions dalam filem kali ini yang menghiburkan, namun pada masa sama, membayangi atau ‘overshadow’ naratif dan karakter utama iaitu Gru bersama keluarga serta Maxime.

Sejujurnya buat penulis, tiada masalah dari segi jalan cerita tetapi disebabkan terlalu banyak karakter yang diperkenalkan dalam naskhah kali ini membuatkan tumpuan audiens sedikit tersasar daripada apa yang sepatutnya dibentangkan.

Rasanya, penulis bercakap untuk penonton yang sudah ‘berseronok’ dengan filem kali ini bahawasanya kehadiran Minions yang banyak ragam sedikit sebanyak mengganggu intipati utama iaitu perseteruan antara Gru dan Maxime.

WATAK Gru Jr. (tengah) berjaya mencuri tumpuan peminat filem Despicable Me 4.

Dari satu perspektif, rasanya Maxime tidak sempat melakukan perancangan sewajarnya untuk membalas dendam terhadap Gru dan keluarganya.

‘Villain’ atau watak jahat memainkan peranan yang sangat penting dalam sesebuah filem animasi seperti Despicable Me 4, namun untuk kali ini elemen sebegitu seperti tidak diberikan perhatian sepenuhnya oleh produksi atau pengarah.

Hasilnya, tumpuan banyak dibazirkan kepada Minions yang sepatutnya menjadi watak sampingan. Mereka bukanlah ‘superstar’ dalam jenama Despicable kerana sudah ada filem sendiri.

Sedikit ‘spoiler’, ada watak Full Mega Minions yang penulis sendiri rasakan seperti terlampau ‘didendangkan’ sehingga mengganggu apa yang sepatutnya divisualkan.

Minions bersaiz besar dalam karya arahan Chris Renaud.

Entah mengapa, mungkin faktor usia yang kian dewasa membuatkan terjemahan karakter dan adegan Minions tidak lagi menggeletek hati.

Atau mungkin, mereka yang memvisualkan Minions sudah kering idea kerana karakter itu sudah berulang kali difilemkan dengan naratif yang sedikit berbeza daripada kebiasaan.

Apa pun, karakter Gru Jr. antara perkara atau elemen yang mencuri perhatian kali ini. Rasa macam Baby Boss dalam filem The Baby Boss yang diam diam ubi berisi.

Despicable Me 4 turut menyaksikan Gru kembali ke dunia gelapnya (melakukan rompakan), namun tersedar bahawa jangan menilai sesuatu daripada luaran. Mengapa Gru kembali seketika dalam dunia gelapnya, semua itu dijawab karakter Poppy Prescott (Joey King). Markah peribadi penulis buat Despicable Me 4 kalau mengikut peratusan adalah 70 daripada 100. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok