Dari peminat, ke jenjang pelamin

Lazimnya ada peminat yang sangat obses dengan artis pujaan masing-masing, bahkan ramai dalam kalangan mereka memasang impian untuk bergelar kekasih si selebriti.

Barangkali itu sekadar angan-angan yang tidak mungkin dapat direalisasikan kerana terdapat ribuan lagi penggemar tegar lain memasang mimpi serupa.

Bagaimanapun, siapa sangka ada segelintir individu yang awalnya sekadar peminat, namun akhirnya bersatu sebagai pasangan sehingga sampai ke jenjang pelamin. 

Daebak kali menampilkan kisah peminat yang berjaya mengahwini artis kesayangan mereka. 

  • Cha Seung-won

HANYA berkenalan semasa berjumpa di satu lorong sebuah kelab, siapa sangka pelakon Cha Seung-won bertemu jodoh dengan peminatnya iaitu Lee Soo-jin. 

Mereka menjadi sangat akrab sebelum akhirnya memutuskan untuk mendirikan rumah tangga pada usia 20 tahun. 

Pada awalnya, percintaan mereka ditentang hebat dan mendapat respons buruk peminat lain tetapi lama-kelamaan nama wanita itu naik di pentas peragaan serta industri fesyen.

Akhirnya, peminat dapat menerima kehadiran Soo-jin dan berasakan mereka pasangan yang cukup serasi. 

  • Nam Kyung-joo 

DALAM ribuan peminat lain, Jung Hee berjaya menambat hati pelakon Nam Kyung-joo. 

Semuanya bermula apabila keterujaan Jung Hee menghadiri sesi tanda tangan bersama Kyung-joo, 59, disedari pelakon itu.

Hasilnya, bintang Tell Me Your Wish itu mahu tahu lebih lanjut tentang keperibadian Jung hee dan mengajaknya keluar berdua.

Sejak itu, hubungan mereka menjadi semakin rapat lebih daripada seorang peminat dan artis. Selepas tiga tahun berkenalan,akhirnya mereka mengikat tali perkahwinan.

  • Park Hae Il

SEMASA awal perkenalan, aktor Park Hae-il merupakan pelakon di sebuah pementasan, manakala isterinya, Seo Yoo hadir sebagai penonton. 

Mereka kemudian berkenalan di belakang pentas yang secara kebetulan  Seo Yoon pula merupakan kawan baik kepada penulis skrip teater berkenaan. 

Ketika kemelesetan ekonomi berlaku, kerjaya Hae-il terjejas sehingga dia hidup dalam keadaan susah.

Ketika itu, Seo Yoo banyak membantu pelakon filem Decision To Leave itu termasuk membelikan makanan dan minuman serta menyampaikan tawaran kerja sambilan. 

Selepas insiden tersebut, hati Hae-il tersentuh dan akhirnya mereka mendirikan rumah tangga pada tahun 2006. 

  • Shoo S.E.S

SHOO muncul bersama sebuah kumpulan bernama S.E.S yang dibentuk bawah naungan SM Entertainment pada 1997. 

Ketika kemunculan, mereka menjadi sangat terkenal sehingga menarik perhatian Im Hyo yang juga seorang pemain bola keranjang professional. 

Terlalu obses dengan Shoo, Hyo sanggup menampal poster penyanyi itu dalam lokar peribadinya. 

Mereka akhirnya berkenalan dengan bantuan seorang rakan tetapi penyanyi asal Jepun itu berkali-kali menolak salam cinta atlet terbabit. 

Im Hyo sering mengatakan bahawa wanita itu adalah penguat semangat untuk memenangi setiap pertandingan disertai. Shoo akhirnya terbuka menerima cinta Im Hyo pada 2010.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok