‘Dah boleh kembali bekerja, belum mati lagi’

SAYA masih kuat dan boleh bekerja, belum mati lagi.”

DEMIKIAN kata pelawak veteran, Sathiya, 60, mengenai perkembangan terkininya selepas lima hari terkena serangan angin ahmar ringan.

Menurut pelakon yang terkenal dengan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu, ini kali pertama dia mengalami masalah angin ahmar.

Ini kali pertama saya alami sakit seperti ini. Sebelum ini saya tidak pernah ada apa-apa masalah kesihatan yang serius.

“Selepas dua hari ditahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), saya dibenarkan pulang.

Kini saya sudah boleh kembali bekerja, cuma tidak boleh memandu sahaja. Kalau nak ke mana-mana saya gunakan perkhidmatan ‘e-hailing,” katanya ketika ditemui di majlis Afyaa Dari Poket Artis Ke Poket Artis Shah Alam hari ini.

Kata Sathiya lagi, kudratnya untuk bekerja masih ada dan dia perlu mencari rezeki demi menyara isteri tercinta.

“Sakit saya tak teruk. Saya masih boleh bergerak, berjalan dan bercakap.

Dua anak saya sudah berkahwin dan mempunyai keluarga masing-masing. Kini saya bekerja untuk isteri saya.

“Tawaran kerja juga masih ada. Tidak lama lagi saya akan terlibat dengan satu projek RTM sempena hari merdeka,” kata Sathiya seraya memaklumkan empat filem lakonannya belum lagi ditayangkan.

Terdahulu Sathiya diserang penyakit angin ahmar ringan selepas mengadu kebas kaki dan tangan ketika bersarapan di rumahnya baru-baru ini.

Menurut anak sulungnya iaitu Vickynesawwry Nayar, 34, pelawak itu dikejarkan ke HKL selepas rawatan segera di sebuah klinik mendapati tekanan darahnya rendah dipercayai berpunca daripada serangan berkenaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok