BAHANG temasya sukan Olimpik Paris 2024 kian terasa selepas dua penyanyi pop antarabangsa terkenal, Celine Dion dan Lady Gaga dikhabarkan bakal membuat persembahan di majlis pembukaan temasya tersebut yang dijadualkan berlangsung esok (26 Julai) di Seine River.
Menerusi ciapan wartawan dari Perancis, Theirry Moreau di aplikasi X, dia mendedahkan dua diva tersebut akan membuat persembahan secara duet.
Celine Dion dan Lady Gaga akan membuat persembahan secara duet menerusi lagu La Vid En Rose ciptaan Edith Piaf. Mereka dilihat telah melakukan raptai bersama,” tulisnya dalam ciapan tersebut.
Dalam ciapan sama, Theirry turut mendedahkan Celine bakal menyarung busana rekaan rumah fesyen tersohor dari negara tersebut yang berwarna merah jambu beserta ‘cape’ berwarna hitam.
Pendedahan tersebut nyata menimbulkan keterujaan peminat kedua-dua penyanyi tersebut terutamanya peminat Celine kerana sebelum ini dia pernah menderita penyakit ‘stiff person syndrome’ sejak Disember 2022.
Dua diva dari dua generasi bergabung di atas satu pentas. Persembahan ini bakal menjadi sejarah. Saya sangat teruja,” Komen seorang netizen.
Disebalik keterujaan peminat ada juga yang geram dan tidak suka dengan pendedahan Thierry kerana dikatakan ‘mematikan’ elemen kejutan.
Terima kasih atas pendedahan ini dan menjadi perosak elemen kejutan pada persembahan pembukaan itu nanti,” tulis seorang lagi netizen.
Sebelum ini sudah ada ura-ura mengatakan Celine dan Lady Gaga akan membuat persembahan pembukaan Olimpik Paris selepas mereka dilihat berada di kota tersebut beberapa hari lalu.
Menerusi laporan yang dikeluarkan portal hiburan TMZ, Celine dikatakan menerima bayaran sebanyak RM9.34 juta untuk satu lagu bagi persembahan di Olimpik Paris.
Kali terakhir pelantun lagu My Heart Will Go On itu dilihat muncul di acara besar selepas pulih dari penyakitnya adalah di anugerah Grammy pada Februari lalu. – HIBGLAM