MEMILIKI anak autisme sememangnya memberi cabaran tersendiri terhadap ibu bapa, namun hakikatnya rata-rata mengakui kehadiran zuriat istimewa ini sebagai nikmat kurniaan Allah yang disyukuri.
Sekali gus, anak-anak ini perlu diberi perhatian khusus dan dilayan seperti insan biasa kerana biarpun ada yang tidak mampu bercakap, mereka juga mempunyai perasaan halus.
Kesedaran terhadap emosi dan penjagaan anak autisme juga semakin tersebar meluas, bahkan masyarakat memahami situasi serta tidak lagi pelik andai melihat ada antara kanak-kanak istimewa ini tantrum di tempat umum.
Selain penyanyi Shila Amzah yang berkongsi diagnosis anaknya, Seth Uwais, 4, yang disahkan autisme tahap satu, beberapa selebriti lain lebih dulu berkongsi perjalanan menjaga permata hati istimewa mereka.
Menariknya, kesemua personaliti popular terbabit turut memberi kesedaran kepada masyarakat serta ibu bapa lain tentang autisme dalam media sosial mereka.
Zarina Zainuddin
DRAMATIS Zarina Zainuddin antara pelakon paling aktif memuat naik gambar atau video bersama dua anak kembarnya, Muhammad Razil Azrai atau Azil dan Muhammad Razal Azrai, 28.
Kembar sulung hasil perkahwinnya dengan bekas ahli politik, Datuk Seri Dr. Abdul Raihan Wan Jaafar disahkan autisme ketika berusia tiga tahun.
Biarpun berdepan cabaran berganda selain kerap dikasari ketika tantrum, perkara tersebut tidak melunturkan kasih sayangnya kepada Razil (Azil) dan Razal (Azal).
Zarina bahkan mendidik seorang daripada kembarnya, Razal menjadi pembantu peribadi serta berniaga sebagai cara untuk bergaul dengan orang ramai.
Edry Abdul Halim (KRU)
Komposer dan anggota kumpulan KRU, Edry Abdul Halim dikurniakan seorang anak istimewa yang dilahirkan autisme bernama Emery yang kini berusia 17 tahun.
Dia dan isteri membuat keputusan berhijrah ke luar negara dengan memilih United Kingdom bagi mendapatkan pembelajaran terbaik buat anak ketiganya itu.
Edry yang mendirikan rumah tangga dengan Milia Mohamad pada November 1999 dikurniakan empat cahaya mata termasuk Emil, Edylia dan Elya.
Menurut penggiat seni itu, selepas membuat semakan terperinci, mereka sekeluarga keluarga terbabit berhijrah ke Manchester sekitar 2018.
Emery menampakkan tanda positif sepanjang mendapat pendidikan di sekolah khas di sana.
Catriona Ross
Pelakon dan pengacara, Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross terbuka mengakui mempunyai anak autisme, Jammal Raess Ross-Iddin yang kini berusia 12 tahun.
Tidak pernah mengeluh, aktres itu juga kerap berkongsi maklumat mahupun kaedah mengendalikan emosi kanak-kanak autisme terutama yang didiagnosis dengan gangguan Spektrum Autistik (Autism Spectrum Disorder-ASD).
Menerusi laman sosial, Catriona kerap memuat naik gambar dan video anaknya itu malah dia juga kerap diminta berkongsi pengalaman dengan berucap di acara tertentu.
Perkahwinannya dengan Shaharuddin Mokhtaruddin turut diserikan dua lagi cahaya mata yang dikatakan sentiasa menjaga kebajikan dan kesejahteraan Jammal Raess.
Iman Wan
Komposer Iman Wan mengakui ketiadaan ilmu mengenai Autism Spectrum Disorder (ASD) dan gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (Attention Deficit Hyperactivity Disorder) menyebabkannya pernah memukul anaknya, Adam Wan ketika kecil.
Walaupun Adam kini sudah berusia 21 tahun, insiden yang pernah berlaku itu membuatkannya menyesal sehingga sekarang hanya disebabkan sikap tidak sabar dirinya.
Dia menyedari anaknya yang disahkan autisme ketika berusia dua tahun enam bulan mula berubah sikap ketika mencecah 10 tahun.
Menurutnya yang kini aktif berkongsi informasi dalam laman sosial, ibu bapa perlu tahu autisme adalah seumur hidup, manakala ubat yang diambil mereka hanya bertujuan untuk mengawal keadaan bukan merawat.
Pat Candy
Mengakui pernah berahsia memiliki dua anak lelaki autisme, penyanyi Pat Candy enggan lagi menyembunyikan mereka daripada umum selepas insiden kehilangan anak sulungnya, Darren Haikal, 20, ketika kecil.
Ketika itu, mereka sekeluarga termasuk suaminya yang juga pemuzik, Edrie Hashim serta seorang lagi anak mereka, Dylan Hyder, 12, dimasukkan ke hospital akibat influenza.
Namun, tanpa disedari Darren hilang dan usaha mencarinya tidak berhasil sehingga dia ditemui di sebuah stesen minyak berhampiran pusat perubatan terbabit.
Berikutan insiden menakutkan tersebut, anggota kumpulan Candy itu mula terbuka apabila semakin selesa berkongsi mengenai keadaan anak mereka.
Malah, sejak itu ramai yang memberikan sokongan serta tidak ketinggalan kumpulan sokongan menyuntik kata-kata semangat kepada pasangan itu. – HIBGLAM