“Saya pernah dilabel ahli neraka”.
Demikian kata pelakon Nadia Brian ketika diminta mengulas tentang insiden bunuh diri melibatkan seorang pempengaruh yang mengalami tekanan akibat dibuli dalam media sosial.
Menurut Nadia atau nama sebenarnya, Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 33, buli siber paling teruk dialaminya adalah selepas bercerai sekitar tiga tahun lalu.
“Saya juga adalah mangsa (buli siber). Paling teruk selepas saya bercerai dulu. Pelbagai tomahan diberi kepada saya walhal saya tidak mengenali pelakunya,” ujar Nadia.
Sedar akan kesan buruk yang bakal dialami terutama kesihatan mental jika terlalu memikirkan kata-kata negatif di media sosial, Nadia mengambil pendekatan untuk tidak membaca sebarang komen.
“Dunia siber luas, tidak guna kita lawan mereka yang membuli di platform ini. Apa yang boleh kita lakukan adalah rawat hati dan perasaan sendiri, elak baca komen di media sosial.
“Kepada pelaku, hentikan. Anda tidak akan dapat apa-apa kebaikan dengan membuli orang lain. Kebanyakan pelaku ini, mereka pernah jadi mangsa (buli). Tapi janganlah pula mereka juga jadi pembuli. Masalah ini tak akan selesai,” katanya yang ditemui sempena pelancaran Kireina Wellness Centre di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Kata bintang filem Ratu Kala Jengking itu, dia bersyukur meskipun terus berhadapan masalah buli siber, keadaan masih terkawal.
Sungguhpun begitu, dia tidak teragak-agak mengambil tindakan andai komen yang dibuat keterlaluan sehingga melibatkan keluarganya.
“Setakat ini saya okey sahaja, tidak ambil peduli sangat dan tidak pernah melenting. Tetapi jika komen agak keterlaluan saya balas kembali komen pembuli dengan ucapan, Alhamdulillah.
“Ada setengah artis yang akan block terus pembuli bagi saya tindakan itu bagus kerana media sosial kita adalah hak kita. Kita berhak jaga privasi dan kesihatan mental masing-masing,” ujarnya. – HIBGLAM