Bukan mudah, setiap hari tak putus doa – Oktovia Manrose

GENAP tiga tahun berhijab dan elak berpakaian ketat, pelakon Oktovia Manrose mengakui tidak pernah putus berdoa agar kekal istiqamah menutup aurat dan memperbaiki diri.

Meskipun adakala perlu memaksa diri menunaikan kewajipan, Oktovia atau nama sebenarnya Wan Syamira Putri Oktovia Wan Syahman, 33, percaya niat ikhlas untuk berubah ke jalan Allah akan dipermudahkan.

Tahun ini genap tiga tahun dalam perjalanan hijrah untuk kekal istiqamah. Memang tidak mudah.

“Tapi insya-Allah dengan niat ikhlas untuk berubah itu Allah beri kekuatan dan kefahaman. Allah beri panduan.

Alhamdulillah hari-hari doa untuk Allah kekalkan istiqamah, paksa diri solat, paksa diri dengar ceramah untuk cari kekuatan istiqamah,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.

Hati dijentik untuk berubah melalui tazkirah, Oktovia mengakui asbab dia melakukan penghijrahan adalah selepas mendengar ceramah Ustaz Wadi Annuar.

“Topik ceramah ustaz semalam ialah mengenai hubungan suami isteri dan bagaimana kita nak kuatkan ikatan rumah tangga.

Aura ustaz tak pernah berubah, ceramah ustaz mesti akan memberi kesan yang mendalam. Sama seperti pertama kali saya mendengar ceramah ustaz pada 2020.

“Dari situlah asbabnya kenapa diri ini boleh bertekad nak berubah dan berhijrah. Masya-Allah Alhamdulillah. Perjalanan yang indah,” ujarnya.

Mahu terus istiqamah dan berjihad di jalan Allah, pelakon drama Hari Kita Jatuh Cinta itu menzahirkan rasa syukur diberikan hidayah untuk menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim.

Ya Allah terima kasih atas kekuatan ini. Doaku berharap semua keluarga seIslamku diberikan kemudahan dan kefahaman dalam menerima hidayah Allah.

“Semoga Allah kekalkan diri kita istiqamah dan kita semua mendapat pengakhiran khusnul khotimah. Amin,” luahnya,

Pada Mei 2021, Oktovia membuat keputusan untuk berhijab dan susulan tu dia mengakui selektif dalam memilih watak.

Bagaimanapun, Oktovia mendedahkan masih ada produksi meminta dia menanggalkan tudung sebagai syarat berlakon dalam drama terbitan mereka. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok