TERLIBAT dalam kes jenayah terutama membabitkan penyalahgunaan dadah bukan perkara ganjil bagi artis-artis Korea Selatan.
Namun, siapa sangka bukan semua selebriti yang pernah didakwa terlibat dalam kancah bahan terlarang itu bersalah.
Kadang kala, semuanya berlaku atas isu pengkhianatan ataupun dakwaan melulu yang dibuat orang sekeliling.
Kali ini, Daebak menyenaraikan beberapa selebriti di sana yang pernah dituduh mengambil dadah sedangkan realiti adalah sebaliknya.
G-Dragon
Pada Oktober tahun lalu, industri seni muzik kecoh dengan kes berkaitan penyanyi kumpulan Big Bang iaitu G-Dragon yang terkait dengan jenayah dadah.
Polis Incheon melaporkan pemilik nama lengkap Kwon Ji-yong disiasat atas dakwaan menggunakan bahan terlarang tersebut.
Sejak berita tersebar, ramai yang mendedahkan kelakuan pelik pernah dilakukan penyanyi rap itu.
Bagaimanapun, selepas siasatan terperinci dilakukan, dia didapati bebas daripada sebarang jenis dadah.
Ramai peminat yang lega mendengar berita itu kerana yakin idola kesayangan mereka tidak terlibat dengan perkara tiada manfaat itu.
Rose
Pada April 2023, media China melaporkan penyanyi Rose mengambil dadah semasa berparti bersama kenalannya di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Khabar angin tersebut mula tersebar melalui satu gambar yang menunjukkan Rose atau nama lengkapnya Roseanne Park itu bersama rakan-rakan.
Dalam gambar tersebut turut terpampang satu bungkusan kecil bahan pelik yang disyaki dadah di atas meja.
Khabar angin tersebut bagaimanapun disangkal label kumpulan Blackpink, YG Entertainment sekali gus menjelaskan bahawa tuduhan tersebut palsu dan tidak berasas.
Wonho
BEKAS anggota kumpulan Monsta X, Wonho pernah kecoh kononnya dia terlibat dengan tuduhan salah guna dadah.
Akibat dakwaan berat diterima, pemilik nama asal Lee Ho-seok itu sendiri mengundurkan diri daripada Monsta X kerana enggan membebankan ahli kumpulan lain.
Dakwaan mengambil dadah berlaku selepas rakan baiknya, Jung Da-eun menyatakan mereka berdua bersama-sama mengambil dadah jenis ganja.
Namun, selepas lima bulan siasatan intensif oleh Pasukan Penyiasat Dadah Seoul kes penyanyi berusia 31 tahun itu ditolak apabila polis tidak menemui bukti kukuh.
Chaewon
TIADA angin tiada ribut, tiba-tiba nama penyanyi Chaewon dituduh terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Hal tersebut berlaku selepas dia tidak menghadiri beberapa acara besar dan ada khabar angin mengatakan penyanyi kumpulan Le Sserafim itu menjalani proses soal siasat bersama pihak polis akibat kes dadah.
Selepas spekulasi liar itu tersebar, label kumpulan terbabit menafikan selain memaklumkan ketidakhadirannya adalah disebabkan faktor kesihatan. – HIBGLAM