Bila di bawah, tiada yang cari kita – Ammar Titan

Pengalaman mengajarnya untuk menjadi manusia yang lebih kuat dan optimis. Itulah yang berlaku kepada pelakon dan pelawak Ammar Titan apabila namanya terpalit dengan kontroversi sekitar tujuh tahun lalu.

Populariti, tawaran kerja dan rakan-rakannya hilang sekelip mata disebabkan kontroversi mempersendakan bekas pelari pecut kebangsaan Watson Nyambek dalam sebuah program hiburan.

Bahkan dia turut didakwa bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas tuduhan mengaibkan dengan niat dan memecahkan keamanan secara sengaja.

Ammar atau nama sebenarnya Azizul Ammar Abu Hassan, 37, mengakui sukar untuknya kembali bangkit, apatah lagi bidang seni adalah kecintaannya.

“Saya graduan dalam bidang seni, jadi apabila saya tidak boleh berlakon dan lakukan kerja yang saya suka, memang sangat sedih.

Dalam filem terbaharunya, Siapa Buka Lampu? Ammar berpeluang bergandingan dengan pelakon Qasrina Karim bawah arahan sutradara Indonesia, Reka Wijaya.

“Perasaannya sukar untuk saya gambarkan. Rasa gian sangat hendak berlakon tetapi ketika itu, sayangnya bukan sahaja tawaran kerja berkurangan, malah rakan-rakan industri turut menjauhkan diri.

Selepas kontroversi, apabila saya hubungi rakan untuk minta pertolongan pelbagai alasan diberi. Jadi saya fahamlah kedudukan saya ketika itu,” kata Ammar yang memiliki ijazah sarjana muda Seni Halus Lakonan dan Pengarahan dari Universiti  Sains Malaysia. 

Sungguhpun kontroversi tersebut menjadi episod hitam dalam kerjaya seninya, selepas tujuh tahun Ammar melihat semuanya sebagai satu hikmah.

Baginya setiap perjalanan kehidupan sudah diatur cantik Allah dan dia amat yakin kejadian tersebut meski memberi impak negatif pada peringkat awal akhirnya bertukar menjadi pelangi.

“Banyak sangat yang saya belajar. Dari aspek kehidupan, selain lebih mengenal diri sendiri, saya akhirnya sedar bahawa orang akan ada dengan kita apabila kita ada kepentingan untuk mereka.

“Ketika kita berada di bawah tiada orang mahu mencari kita. 

“Ketika itu mungkin Allah mahu buang orang yang tidak sepatutnya berada dalam kehidupan saya. Ada rakan industri dan bukan industri yang pulaukan dan pinggirkan saya. Tetapi saya tidak kisah itu pilihan mereka,” kata Ammar.

Matang

Iktibar daripada kedangkalan lalu, Ammar kini menjadi individu yang lebih peka dan matang. Dia bahkan tidak mudah percayakan orang sekeliling terutamanya orang industri.

Bukanlah berdendam, tetapi pengalaman banyak mengajarnya untuk lebih bijak menilai siapa kawan dan siapa lawan.

Kita tidak boleh percaya kepada orang industri kerana pada akhirnya kita yang perlu menjaga diri sendiri. Kita jaga kita,” tutur Ammar.

Sambung Ammar ketika kontroversi tersebut sedang hangat, tawaran kerja dalam bidang seni berkurangan. Dia  sedar tidak selamanya  akan berada di atas.

Tujuh tahun berlalu, Ammar menyifatkan kontroversi bermulut lancang yang berlaku kepadanya dahulu memberi hikmah menjadikan dia lebih kuat dan matang.

“Turun naik seorang anak seni dalam dunia hiburan bergantung kepada apa orang suka. Saya menerima takdir itu kerana sesekali perlu ada kesukaran dalam hidup untuk menjadikan kita lebih kuat.

Jika saya berada terlalu tinggi di atas, sekali jatuh ke bawah memang akan sakit. Sekarang, asalkan saya boleh meneruskan kelangsungan hidup, masih relevan dan boleh menikmati kehidupan dengan tenang sudah memadai buat,” tutur Ammar.

Justeru, Ammar tidak malu untuk beralih ke bidang insurans meskipun namanya dikenali ramai.

“Saya tidak malu kerana pada akhirnya saya yang perlu membayar segala bil dan tanggung keperluan keluarga.

Alhamdulillah, saya seronok dengan pekerjaan sekarang. Jika ada tawaran lakonan saya akan berlakon dan pada masa lapang saya sudah ada pekerjaan lain iaitu sebagai ejen insurans.

“Walaupun ada rakan yang lari jika saya cuba dekat dengan mereka saya tidak kisah. 

“Situasi ini normal untuk seorang ejen insurans. Niat saya hanyalah mencari rezeki yang halal dan membantu menguruskan kewangan pelanggan demi masa depan yang lebih terjamin,” katanya.

Siapa Buka Lampu?

Biarpun begitu, bukan mudah untuk Ammar kembali mendapat keyakinan penerbit dan pengarah.

Berkat kesungguhannya, akhirnya dia mendapat kepercayaan penerbit dan muncul dengan dua buah filem tahun ini, antaranya Siapa Buka Lampu? yang telah mula ditayangkan pada 4 Julai lalu.

Selain bergelar pelakon, pengacara, pelawak, Ammar juga seorang ejen insurans.

“Saya perlu tunjuk kepada penerbit dan pengarah apa yang boleh saya lakukan. Jika hendak kata saya terdesak mencari kerja lakonan, saya tidak kisah.

Saya ada ruang dan minat. Inilah bidang yang saya belajar dan suka. Alhamdulillah, sekarang secara beransur-ansur diterima kembali walaupun tawaran tidak sebanyak dahulu,” luahnya penuh kesyukuran.

 

Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan. 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok