Benar saya sudah kahwin – Ben Ladin

PENYANYI rap Ben Ladin menegaskan tiada niat merahsiakan kisah cintanya daripada peminat sebaliknya memilih untuk memaklumkan perkara itu apabila rasmi bergelar suami.

Ujar Ben atau nama sebenarnya Muhammad Benladin Munshi Shaihan, 23, dia sebenarnya menunggu masa sesuai untuk mengumumkan pernikahan dengan Anna Syida selepas foto perkahwinan mereka siap.

“Assalammualaikum, harap semua sihat-sihat sahaja. Saya banyak terima Direct Message (DM) daripada keluarga, sahabat, rakan media dan peminat.

Maaf kerana membuatkan kalian tertunggu-tunggu. Ya, benar saya sudah pun berkahwin pada usia 23 tahun dan sah menjadi suami kepada isteri saya, Anna Syida.

“Kami tiada niat nak merahsiakan cuma mengambil keputusan untuk sorok hubungan sehinggalah berkahwin secara rasminya. Dalam masa sama, kebetulan pula saya baru dapat gambar kahwin,” ujarnya menerusi hantaran dalam Instagram.

Pelantun lagu Hikayat Benladin itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam majlis perkahwinannya selain berharap orang ramai mendoakan dirinya dan isteri kuat menempuh fasa perakahwinan.

Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat memastikan majlis perkahwinan kami berlangsung dengan lancar.

“Harap semua doakan yang terbaik untuk kami berdua dan semoga kami sentiasa kuat untuk lalui perjalanan hidup berumah tangga,” katanya.

Terdahulu, berita perkahwinan Ben disahkan seorang wanita dipercayai ibu saudara kepada pengantin perempuan yang dikenali sebagai Hamidah menerusi hantaran dalam Facebook pada 8 Julai lalu.

Hamidah menghadiri majlis persandingan anak saudaranya dengan Ben bagaimanapun tidak menyatakan tarikh sebenar perkahwinan pasangan mempelai itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok