MEWARNAI kanvas seni sejak empat dekad lalu meletakkan penyanyi berkaliber, Datuk Aishah Ariffin dalam satu kelas yang tiada tolok bandingan.
Kehebatan vokal penghibur berusia 59 tahun itu sukar disangkal lagi bahkan kemunculannya sentiasa dinanti-nanti peminat sehingga hari ini.
Lama berkelana dalam industri muzik tanah air, pelantun lagu Janji Manis Mu itu tidak pernah surut dilanda badai kontroversi, bermula dengan tuntutan kes berkaitan hadiah sebidang tanah lot sehinggalah penyingkirannya di All Stars Gegar Vaganza (GV10) dahulu.
Kini, tiada tiada angin, tiada ribut, timbul pula kisah penyanyi bersuara lunak itu kembali mendirikan rumah tangga selepas dua tahun menjalani hidup sebagai ibu tunggal.
Spekulasi tercetus berikutan tular foto pemenang Anugerah Juara Lagu ke-5 (AJL5) itu menggayakan persalinan serba putih dengan solekan persis pengantin.
Bagaimanapun, menerusi hantaran yang berlegar dalam media sosial itu tidak kelihatan pula kelibat pengantin lelaki.
Enggan terus menimbulkan spekulasi kurang enak, Aishah menegaskan dia sudah dapat menebak bahawa perkara tersebut bakal mencetuskan spekulasi liar.
Selepas foto tular, memang ada yang menghubungi saya untuk mendapatkan pengesahan. Bahkan ada juga yang ucapkan tahniah. Saya hargai keprihatinan anda, tetapi untuk pengetahuan, saya belum berkahwin.
“Foto tersebut dirakam ketika saya menjalani penggambaran untuk satu projek yang bakal diumumkan tidak lama lagi.
Disebabkan itu, ramai menyangka saya kembali berumah tangga. Semua ini hanya salah faham sahaja,” katanya kepada HibGlam.
Meskipun mengakui tiada masalah berdepan isu foto tular, Aishah memberitahu dirinya agak terkilan apabila ada netizen yang mengambil kesempatan menghamburkan cacian dengan mengungkit kisah silamnya.
“Ramai ucap tahniah dan gembira melihat saya bahagia, namun ada juga seolah-olah tak puas hati dan mudah menjatuhkan hukum.
Saya dicop artis kahwin dan cerai. Soal jodoh, semuanya ketentuan Tuhan dan tiada siapa yang berkahwin untuk bercerai. Buat masa ini, saya tiada masa nak fikir dan mencari calon suami. Jujurnya, saya sudah malas.
“Saya bahagia dengan kehidupan sekarang. Tiada suami tidak bererti tak bahagia. Orang perempuan okey sahaja hidup sendiri. Masa saya banyak terisi dengan kerjaya dan membuat kraftangan. Hidup saya fokus jaga anak-anak dan kucing peliharaan,” jelasnya.
Paling penting kata penghibur legenda itu, dia bakal pukul kompang dan beritahu semua orang sekiranya akan kembali berumah tangga.
Ditanya mengapa mengunci mulut dan mendap dalam sosial media, Aishah berkata, dia sengaja berbuat demikian kerana terlalu banyak kecaman diterima selepas keluar daripada program GV10.
Saya tak mahu kesihatan mental terganggu dengan komen negatif daripada mereka yang seolah-olah kenal rapat dengan saya.
“Disebabkan itu, saya juga memutuskan tidak membaca komen-komen netizen,” ujarnya menutup bicara.
Pada 2017, Aishah mendedahkan sudah kembali berumah tangga selepas enam tahun bercerai dengan suami ketiga, Faizal Sazali Zulkifli yang dinikahi pada 2010.
Bagaimanapun, Aishah enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai perkahwinan keempatnya itu.
Aishah dikurniakan anak lelaki, Armand Azhari, 30, menerusi perkahwinan pertama dan Azhad Ahlami, 25, hasil perkahwinan kedua. – HIBGLAM