Bah paling teruk, syukur keluarga di Penampang selamat – Stacy

BANJIR paling teruk pernah melanda kampungnya, penyanyi Stacy Anam bersyukur lima ahli keluarga di Penampang, Sabah, terselamat daripada musibah itu pada Ahad lalu.

Ujar Stacy atau nama penuhnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam, 34, kediaman mereka sering berdepan bah namun kali ini berbeza apabila air naik dengan pantas dan deras sehingga mengakibatkan barang-barang penting tidak dapat diselamatkan.

Ini banjir paling teruk, bersekali dengan lumpur yang memang sangat tebal. Sebelum ini jarang air tinggi begini.

“Sekarang dah surut cuma tinggal bersihkan lumpur. Ini juga kali pertama kejadian banjir lumpur berlaku malah mangsa di Penampang masih dalam proses membersihkan rumah.

Ketika kejadian, bapa, abang, kakak ipar dan anak saudara berada di rumah tetapi tidak sempat selamatkan harta benda kerana air naik sekelip mata,” katanya kepada HibGlam.

Pelantun lagu Bosan itu turut berkongsi keadaan banjir di kediaman keluarganya menerusi Instagram Story.

Pada masa sama, isteri kepada penyanyi Akim Ahmad itu meluahkan rasa syukur kerana tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan membabitkan keluarganya.

“Saya dapat tahu berita ini ketika buat persiapan sebelum konsert The Hardest Singing Show Ahad lalu.

Saya memang risau bila memikirkan keadaan emak serta saudara mara, selain hanya mampu berdoa kerana ketika itu jadual kerja saya sangat padat.

“Hati saya berdebar-debar sepanjang persembahan. Alhamdulillah, semuanya selamat. Saya ingin berterima kasih kepada semua yang menghulurkan bantuan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Kosmo! Online melaporkan lebih 20 kampung di sekitar Penampang dilanda banjir akibat limpahan air Sungai Moyog berikutan bacaan air yang melebihi sembilan meter, iaitu melepasi paras bahaya. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok